Kanada, India Saling Usir Diplomat
Hubungan antara Kanada dan India menjadi tegang susulan kerajaan Kanada baru-baru ini mendakwa India mungkin terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin agama Sikh di Vancouver.
Lantaran itu, Kanada dan India mengumumkan keputusan untuk saling mengusir seorang diplomat kanan dari negara masing-masing.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Isnin berkata, sejak beberapa minggu lalu, badan keselamatan negara itu telah menjalankan siasatan terhadap satu tuduhan yang mendakwa ejen rahsia India berkaitan dengan pembunuhan pemimpin Sikh, Hardeep Singh Nijjar yang merupakan warganegara Kanada.
Pada hari yang sama, Kanada mengumumkan pengusiran seorang diplomat kanan India sambil mendakwa diplomat itu adalah ketua badan perisikan di Kanada.
Sehari kemudian, India memberi respons dengan menyifatkan tindakan Kanada itu sebagai tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali.
Agama Sikh berasal dari India dan sebahagian penganutnya menuntut penubuhan negara Sikh yang merdeka di India. Kerajaan India menganggap ia sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.
Selain India, Kanada juga antara negara yang didiami penganut agama Sikh paling ramai dengan jumlahnya mencecah 770,000 orang.