China Anggota Semula Jadi 'Selatan Global'

2023-09-21 15:16:33  CRI
Share with:

Isu-isu yang menjadi keprihatinan negara-negara Selatan Global antara topik perbincangan penting  dalam sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). 

Sebagai negara membangun terbesar, China akan menghadiri beberapa mesyuarat UNGA dan mengajukan tuntutan dan saranan Selatan Global.

Mewakili negara pasaran baru muncul dan negara membangun, konsep 'Selatan Global' menjadi sebutan hangat di arena politik antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, konsep itu diperalatkan negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi menyingkirkan China daripada lingkungan Selatan Global dan mengubah statusnya sebagai negara membangun.

Amalan itu dianggap berniat untuk memecahbelahkan kem negara membangun.

Cubaan Barat itu menerima tamparan hebat daripada Sidang Kemuncak Kumpulan 77 (G77) dan China yang berlangsung di Cuba mutakhir ini.

Deklarasi Havana yang diluluskan sidang kemuncak itu telah memaktubkan banyak saranan China, sambil menyeru supaya semua pihak komited mewujudkan pembangunan global dan kerjasama saling untung ke arah komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Ia turut memaparkan komitmen Selatan Global untuk mengekalkan solidariti dan kolaborasi, sekali gus memperlihatkan bahawa China merupakan anggota semula jadi Selatan Global.

Walaupun merupakan entiti ekonomi kedua terbesar, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita China ialah USD12,741 (RM59,711) pada 2022, iaitu hanya seperlima berbanding negara maju.

Pada 2021, pendapatan per kapita China menduduki tempat ke-68 di dunia, sementara Indeks Pembangunan Manusia (HDI) berada di tempat ke-79, separas dengan negara membangun utama. Justeru, China tetap negara membangun paling besar dunia yang diiktiraf semua.

China memandang negara Selatan Global sebagai teman dalam jalan pembangunan, dan sudi memberi sokongan dengan sedapat mungkin.

Setakat ini, China telah menghulurkan bantuan pembangunan kepada lebih 160 buah negara, menjalankan kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan lebih 150 negara, di samping memperkasa kerjasama Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dengan lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa.

Dijangkakan bahawa pengaruh Selatan Global akan semakin meningkat, sekali gus memberi nafas baharu kepada tadbir urus sejagat.

Tak kira sejauh mana tahap pembangunan dicapai China, negara Tembok Besar tetap merupakan anggota semula jadi Selatan Global dan kekal berstatus negara membangun.