Sukan Asia Hangzhou Raih Sokongan Padu

2023-09-24 15:38:55  CRI
Share with:

Sukan Asia ke-19 membuka tirainya secara rasmi di bandar Hangzhou, provinsi Zhejiang pada malam Sabtu.

Ini merupakan kali ketiga China menjadi tuan rumah temasya sukan itu selepas penganjurannya di Beijing pada 1990 dan di Guangzhou pada 2010.

Seramai lebih 12,000 orang atlet dari kesemua 45 ahli Majlis Olimpik Asia (OCA) mendaftar untuk beraksi dalam 40 jenis sukan.

Dikendalikan dalam skala terbesar, Sukan Asia kali ini turut memperlihatkan aspirasi serta sokongan padu rakyat Asia terhadap temasya di Hangzhou.

Sebagai temasya sukan paling berprestij di Asia, Sukan Asia membawakan aspirasi rakyat rantau ini terhadap keamanan, perpaduan dan keterangkuman.

Sepertimana yang dinyatakan Presiden Xi Jinping ketika berucap meraikan kedatangan tetamu asing kehormat dalam majlis jamuan, adalah perlunya sukan dijadikan medium untuk menggalakkan keamanan, perpaduan dan keterangkuman.

Dalam beberapa dekad lalu, ekonomi Asia kekal berkembang pesat sekali gus menyumbang sebanyak 40 peratus daripada ekonomi sejagat.

Sukan Asia merupakan saksi, peserta dan penggalak dalam mencipta 'Keajaiban Asia'. 

Berdepan kelakuan segelintir kuasa dari luar rantau yang memegang mentaliti Perang Dingin menghasut konflik dan merosakkan ketenteraman, rakyat Asia mendambakan sukan dijadikan wahana untuk menggalakkan keamanan.

Acara pertandingan yang bakal disajikan akan menjadi wadah untuk mengeratkan solidariti dan tali persahabatan sesama rakyat, dan membolehkan orang ramai merasai pesona Timur yang disebatikan dengan semangat sukan.

Dengan sokongan padu rakyat Asia, Sukan Asia Hangzhou akan memberi sumbangan baharu untuk menggalakkan pembangunan pergerakan Olimpik selain memperkukuh perpaduan dan persahabatan di kalangan rakyat Asia.