Pertukaran Parlimen Dorong Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia

2023-09-26 15:44:26  CRI
Share with:

Persahabatan antara China dengan Malaysia dijalinkan sejak beribu tahun dahulu dan telah disemai dalam hati rakyat. 

China bersedia bersama-sama Malaysia mempercepat pelaksanaan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, meningkatkan taraf kerjasama dalam pelbagai bidang, agar mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia mencapai hasil baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) Zhao Leji berkata demikian ketika menerima kunjungan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia Tan Sri Dato’Johari bin Abdul di Beijing pada Isnin.

Zhao mengatakan bahawa Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu telah mencapai konsensus penting tentang pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, di samping menggariskan pelan bagi hubungan kedua-dua negara pada masa depan. 

Zhao berkata, China dan Malaysia merupakan rakan baik dalam pembinaan bersama-sama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Beliau berharap kedua-dua pihak dapat mempercepat perbincangan dan penandatanganan rancangan kerjasama, memperkasakan pembinaan BRI, serta mempergiat kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga baharu, ekonomi digital dan pertanian.

Sementara itu, Zhao memberikan taklimat tentang modenisasi ala China. 

Menurutnya, China menghormati rakyat pelbagai negara memilih jalan modenisasi sendiri, menentang tindakan mencampuri urusan dalaman negara lain dan mengekang malah menindas negara lain. China mempertahankan pembangunan damai dan bersedia bersama-sama negara-negara ASEAN termasuk Malaysia menuju ke modenisasi yang sesuai dengan keadaan negara masing-masing serta membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Johari pula mengatakan bahawa pihaknya menyokong pembinaan bersama BRI dan berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, pendidikan vokasional dan kebudayaan demi kemakmuran bersama. 

Menurut beliau, Dewan Rakyat Malaysia komited meningkatkan pertukaran dengan NPC bagi memainkan peranan positif bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib Malaysia-China.