Konsep Xi, Penjana Inisiatif Impak Sosial untuk Mengubah Dunia
Pada Mac tahun 2013, Presiden China, Xi Jinping mengeluarkan konsep Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan buat pertama kalinya semasa menyampaikan ucapan di Akademi Hubungan Antarabangsa Moskow. Kemudian, konsep ini terus diperkembang dan dimasukkan dalam ketetapan Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk enam tahun berturut-turut serta termaktub dalam sejumlah ketetapan atau perisytiharan agensi multilateral termasuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan BRICS, yang membuktikan konsep ini telah mendapat persetujuan dan sokongan yang luas dalam masyarakat antarabangsa.
Jabatan Penerangan Dewan Negara China menerbitkan kertas putih "Membentuk Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan: Anjuran dan Tindakan China" pada Selasa, yang memperkenalkan konotasi, panduan dan praktik tentang pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Konsep untuk membina komuniti berkongsi nasib insan ini menekankan bahawa nasib setiap bangsa, setiap negara dan setiap orang mempunyai kaitan yang amat rapat antara satu sama lain, maka kita patut menggalakkan usaha membina dunia yang kekal damai, selamat, makmur bersama, terbuka dan inklusif, di samping mengekalkan konsep tadbir urus sejagat berdasarkan berunding dan membangun bersama dan berkongsi supaya setiap negara boleh menyertai, menyumbang dan memanfaatkan pembangunan damai di pentas dunia. Ini juga selaras dengan hasrat rakyat pelbagai negara untuk mewujudkan kedamaian, pembangunan dan keadilan.
Membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan bukan sahaja satu visi yang cerah, tetapi juga berdasarkan pendekatan dan skim yang praktikal. Misalnya, pembina bersama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) hingga Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global dalam tempoh sedekad lalu, tidak terlepas dari usaha China yang konsisten yang sudah membawa dividen besar kepada dunia.
Menurut laporan Bank Dunia, jumlah perdagangan antara negara-negara yang terlibat dalam BRI telah meningkat 4.1% berkat pelaksanaan inisiatif itu secara menyeluruh, yang juga dijangka akan melahirkan keuntungan sebanyak USD1.6 trilion (RM7.5 trilion) kepada dunia setiap tahun menjelang tahun 2030.
Berhadapan cabaran dalam senario global, berganding bahu menjalankan kerjasama yang sama untung dan sama menang adalah satu-satunya pilihan yang betul. Makna dan nilai konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan akan makin menyerlah seiring dengan pelaksanaannya pada masa depan.