Keturunan Anak kapal Armada Laksamana Cheng Ho di Afrika
Disebabkan melakonkan watak Laksamana Cheng Ho dalam sebuah klip video, Satria banyak membaca bahan mengenai laksamana tersebut. Antaranya, satu cerita yang amat menarik dan saya berpendapat patut dikongsikan dengan kawan-kawan.
Dalam sebuah buku sejarah China tercatat kisah armada Laksamana Cheng Ho belayar jauh sehingga ke pantai timur Afrika. Namun, sejarah ini tidak dapat dibuktikan dengan penemuan arkeologi hinggalah pada tahun 2004. Pada tahun tersebut, Duta Besar China ke Kenya menerima surat daripada seorang perempuan tempatan, bernama Mwamaka Sharifu yang mendakwa dia ialah keturunan salah seorang anak kapal armada Laksamana Cheng Ho.
Duta Besar China segera melawat ke kampung Mwamaka. Ibunya menyatakan nenek moyang mereka adalah anak kapal armada Laksamana Cheng Ho. Tetapi kapal tersebut terkandas di pantai Kenya dan mereka akhirnya berkahwin dengan penduduk tempatan. Di kampung itu masih terdapat empat keluarga keturunan Cina. Wajah mereka memang berbeza dengan penduduk tempatan yang lain.
Duta Besar menghantar sebiji cawan yang diwarisi dari generasi ke generasi oleh keluarga Mwamaka ke muziu. Pakar mengesahkan cawan itu memang buatan pada zaman Dinasti Ming. Penyelidikan seterusnya menemui bangkai kapal armada Laksamana Cheng Ho di dalam laut berhampiran kampung tersebut.
Sudah pasti, armada Laksamana Cheng Ho pernah sampai ke pantai timur Afrika sebab itulah ada keturunan anak kapal China berkenaan di sana.
Dengan sokongan kerajaan China dan Kenya, Mwamaka datang ke China pada tahun 2005 untuk belajar perubatan tradisional Cina. Setelah berjaya memperoleh ijazah sarjana daripada sebuah universiti tempatan, banyak syarikat China menawarkan pekerjaan kepada Mwamaka. Tetapi, Mwamaka memilih untuk kembali ke Kenya pada tahun 2018 sebagai sumbangan untuk mengubah keadaan kesihatan awam di Afrika yang masih ketinggalan dengan pengetahuan yang didapati di China.
Pengembaraan armada Laksamana Cheng Ho menghubungkan China dengan Afrika pada abad ke-15. Keturunan anak kapal armada Laksamana Cheng Ho pula terus memainkan peranan untuk mengeratkan persahabatan dan kerjasama kedua-dua pihak.
Menurut sebuah catatan lain, Laksamana Cheng Ho pernah sampai ke kawasan Mombasa. Kini Mombasa merupakan bandar kedua terbesar dan pelabuhan penting di Kenya.
Dengan bantuan China, landasan kereta api dari Mombasa ke Nairobi, ibu negara Kenya mulai beroperasi pada tahun 2017. Ini merupakan projek infrastruktur mega yang menyediakan lebih 4.6 ribu peluang pekerjaan sejak Kenya mencapai kemerdekaan. Landasan ini mampu menghantar lebih 7000 penumpang dan 18 ribu tan barangan antara kedua-dua bandar setiap hari. Projek ini telah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan modenisasi tempatan.