Hapuskan Benih Kebencian di Asia Barat

2023-10-09 09:26:46  CRI
Share with:

Semasa mengunjungi Kuil Lingyin di Hangzhou dalam rangka lawatan ke China pada hujung bulan lalu, wanita pertama Syria, Asma Assad dipuji oleh seorang pelancong China yang berkata, “Puan sangat cantik!”

 

Asma Assad membalas pujian itu dengan ucapan terima kasih dan berkata “Negara anda sangat indah!”

 

Sebagai wanita pertama bagi sebuah negara yang mengalami perang saudara yang didalangi kuasa luar selama belasan tahun, Asma Assad faham bahawa tugas memastikan kedaulatan dan keamanan negara serta keselamatan rakyat terjamin bukanlah mudah.

 

Presiden Syria bersama dengan anggota keluarganya menaiki pesawat khas China yang dilindungi oleh jet pejuang dari empat negara, iaitu Pakistan, Iran, Arab Saudi dan Jordan demi menjamin keselamatan mereka.

 

Sejurus selepas Bashar al Assad kembali ke Syria, Israel sekali lagi mengebom Damsyik. Akademi Ketenteraan Homs negara itu turut menghadapi serangan dron yang mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan 200 lagi cedera.

 

Konflik yang lebih dahsyat tercetus antara Hamas dan Israel semalam, yang Jihad Islam Palestin, Hizbullah Lubnan dan Taliban Afghanistan turut bersiap ikut serta.

 

Punca kesengsaraan pelbagai negara di rantau Asia Barat adalah campur tangan kuasa luar, pembangunan yang tidak seimbang dan kurangnya persefahaman antara tamadun yang berbeza. Malah, huru-hara yang boleh dicetuskan pada bila-bila masa adalah masalah Palestin-Israel.

 

Pelan PBB yang menubuhkan negara Israel dan Palestin pada tahun 1947 menyasarkan penyelesaian konflik tersebut. Pada tahun 1993 pula, Perjanjian Oslo hampir mewujudkan kedamaian dan kestabilan di Asia Barat. Namun, perjanjian ini tidak membawa kepada perkembangan positif. Yitzhak Rabin, pemimpin Israel yang menggalakkan kedamaian dibunuh. Israel terus menceroboh wilayah Palestin dan membina tembok tinggi untuk menyekat warga Palestin di tanah yang semakin kecil.

 

Satria pernah menonton sebuah klip video yang memaparkan seorang askar Israel merampas basikal kanak-kanak Palestin dan membuang basikal tersebut ke dalam tong sampah, hanya kerana kanak-kanak ini dikatakan telah mengganggu ketenteraman komuniti petempatan orang Yahudi. Hal –hal demikian tentulah menanam benih kebencian dalam hati kanak-kanak Palestin.

 

Perkembangan terkini telah membuktikan bahawa perbuatan yang mencetuskan benih kebencian antara orang Yahudi dengan kaum Islam, termasuk menghasutkan agar perselisihan antara kaum Islam di Asia Barat berlaku adalah demi kepentingan kuasa besar di luar rantau ini, yang natijahnya membawa kepada kesengsaraan yang berterusan kepada penduduk di sini.

 

Pada zaman ini, Jungle-law tidak patut menjadi asas tatatertib antarabangsa. Kita patut mematuhi konsep keselamatan yang sama kedudukan, komprehensif, bekerjasama dan lestari, serta menghormati piagam PBB dan menyelesaikan konflik melalui rundingan damai.

 

Hak keselamatan dan pembangunan penduduk di dunia ini, tanpa kira kaum dan agama mereka perlu dijamin secara adil dan sama rata.

 

Setiap tamadun adalah kecemerlangan bagi umat manusia. Mereka tidak patut disekat dengan tembok yang tinggi, sebaliknya perlu berkomunikasi dengan perasaan saling menghormati.

 

Setelah menghadapi begitu banyak cabaran global seperti pandemik, perubahan iklim, krisis tenaga dan bahan makanan yang merentasi sempadan, agama dan perkauman, umat manusia perlu menyedari bahawa kita berada dalam satu komuniti yang berkongsi nasib.

 

Berulangnya konflik Palestin-Israel membuktikan proses damai terbabit sudah berada dalam keadaan tergantung untuk suatu masa yang panjang. “Penyelesaian dua negara" yang menganjurkan penubuhan negara Palestin yang merdeka adalah pendekatan yang holistik bagi meredakan konflik berkenaan. Masyarakat antarabangsa diharap mengintensifkan usaha dalam isu berkenaan, mendorong rundingan damai dipulihkan secepat mungkin dan berusaha mencari ikhtiar bagi kedamaian yang berkekalan.