Semangat Sukan, Tonggak Kestabilan, Kedamaian dan Pembangunan Asia

2023-10-09 16:45:20  CRI
Share with:

Majlis Penutup Sukan Asia ke-19 menjadi satu pesta kepada para atlet dari negara-negara Asia sehingga penganjur terpaksa berulang kali meminta mereka balik ke tempat duduk bagi menonton persembahan penutupan seterusnya.

 

Hal yang paling mengharukan adalah tayangan video yang memaparkan wajah-wajah yang basah dengan air mata apabila memenangi pingat emas, pelukan antara peserta selepas pertandingan serta isyarat finger heart dan hand heart daripada para atlet, sukarelawan dan penonton.

 


Satria turut teringat akan pelukan antara Zhang Yufei dengan atlet Jepun, Ikee Rikako selepas acara renang 50M gaya kupu-kupu. Zhang memenangi pingat emas, manakala Rikako pemenang pingat gangsa. Sebelum berpeluk mereka sudah tidak boleh menahan air mata.

 

Meskipun berjaya membawa balik enam pingat emas, Zhang menganggap Ikee sebagai seorang legenda sebab dalam Sukan Asia Jakarta pada tahun 2018, Rikako juga meraih enam pingat emas!

 

Bagaimanapun, hanya setahun selepas itu, Rikako menderita leukemia. Rawatan selama 10 bulan hampir menghancurkan hidup Rikako. Namun, akhirnya berbekalkan semangat seorang pemenang pingat emas, Rikako kembali bertarung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021!

 

Dalam Kejohanan Dunia Fukuoka pada bulan Julai lalu, Zhang Yufei menulis kata-kata semangatBe the best of yourself” pada tangannya, lalu menunjukkan tulisan itu kepada Rikako selepas pertandingan. Mereka juga berjanji untuk berjumpa lagi di Hangzhou.

 

Semangat Rikako sangat mengagumkan. Persahabatan antara Zhang dengan Rikako pula membuktikan sukan mampu merentasi sempadan negara dan menyatukan hati manusia.

 

Senario ini meninggalkan kesan yang amat mendalam bagi Satria, juga atlet Palestin yang tidur dengan lena ketika menaiki kapal persiaran sambil menikmati pemandangan malam Tasik Xihu.

 

Dunia sebenarnya kian kurang stabil, tanah air atlet Palestin sedang diceroboh, rumah mereka dihancurkan, saudara mara mereka diusir dari wilayah sendiri, dan kemalangan berlaku hampir setiap hari. Arena sukan adalah medan mereka. Mereka telah berusaha melaungkan nama Palestin, dan memberitahu dunia bahawa Paletin masih sebuah negara yang berdaulat. Rakyat Palestin berhak berjuang untuk masa depan yang cemerlang seperti rakyat negara lain.

 

Sekatan pasti telah mengganggu latihan para atlet Palestin. Sukar dibayangkan kesusahan mereka dalam usaha untuk datang ke Hangzhou dengan selamat.

 

Menurut sejarah, Sukan Olimpik diwujudkan untuk menggantikan perang antara negeri-negeri Yunani. Meskipun hal yang sama ini terbukti tidak wujud kini, tapi ia masih merupakan sasaran yang patut kita perjuangkan.

 

Seperti persahabatan antara Zhang Yufei dengan Ikee Rikako, sukan mampu merapatkan hubungan muhibah antara atlet dari negara berlainan, sukan juga mampu membantu meningkatkan persefahaman, memelihara kedamaian dan mengukuhkan hubungan bilateral antara negara jiran.

 

Semangat sukan dan semangat Sukan Asia Hangzhou yang menghimpunkan atlet dari seluruh Asia boleh menjadi asas bagi menjadikan benua ini sebagai tonggak bagi kestabilan, kedamaian dan pembangunan dunia.