Menteri Luar China, AS Bincang Situasi Palestin-Israel

2023-10-15 14:55:35  CRI
Share with:

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) merangkap Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan perbualan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menerusi telefon pada Sabtu.

Blinken memaklumkan tentang lawatannya ke Asia Barat ketika ini, serta menjelaskan pendirian kerajaannya tentang konflik antara Palestin dengan Israel.

Wang Yi berkata, China menentang semua tindakan yang membawa penderitaan kepada rakyat jelata, di samping mengutuk semua tindakan yang membelakangi Undang-Undang Antarabangsa. 

Beliau berkata, China berpendapat bahawa pemeliharaan keselamatan sendiri tidak boleh mengorbankan rakyat jelata yang tidak berdosa. "Pelan dua negara", penubuhan negara Palestin yang merdeka, dan mewujudkan hidup bersama secara damai antara Palestin dan Israel, merupakan jalan keluar bagi isu Palestin. 

Wang Yi mengingatkan pihak AS supaya memainkan peranan konstruktif untuk membawa isu itu kembali ke landasan penyelesaian melalui saluran politik.

Blinken menyatakan bahawa pihaknya menyokong penyelesaian isu Palestin-Israel melalui "pelan dua negara", dan menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan untuk meredakan situasi tegang dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di rantau itu.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bersedia meningkatkan komunikasi dengan China membabitkan isu tersebut.