BRI Bawa Perubahan Besar kepada Dunia

2023-10-16 14:46:23  CRI
Share with:

Tahun ini menandakan ulang tahun kesepuluh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diketengahkan China. Sepanjang sedekad lalu, inisiatif itu membawa perubahan yang mendalam kepada dunia.

Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga yang diadakan bermula esok turut menyediakan peluang untuk mengimbas kembali hasil praktik inisiatif berkenaan.

Dalam tempoh sepuluh tahun lalu, lebih 3,000 projek kerjasama berorientasikan BRI dilancarkan membabitkan pelaburan melepasi satu trilion dolar Amerika.

Setakat Jun 2023, China telah menandatangani lebih 200 dokumen kerjasama BRI dengan lebih 150 buah negara dan 30 pertubuhan antarabangsa.

Dapatan kajian Bank Dunia menunjukkan perdagangan antara negara-negara terlibat dalam BRI akan menokok 4.1 peratus menerusi pelaksanaan menyeluruh inisiatif itu.

Dijangkakan bahawa menjelang 2030, ia akan menjana keuntungan sebanyak USD1.6 trilion (RM7.58 trilion) untuk dunia saban tahun, sementara membantu seramai 7.6 juta orang keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

Buat masa ini, pembangunan ekonomi dunia masih tidak seimbang, sistem tadbir urus kurang sempurna dan sebilangan besar negara membangun mendepani masalah kekurangan dana. 

Penubuhan Tabung Laluan Sutera dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) turut membantu negara berkenaan memperluas saluran pelaburan dan pembiayaan, sekali gus menambah baik sistem tadbir urus ekonomi global.

Dengan menerapkan konsep pembangunan hijau dalam keseluruhan proses pelaksanaannya, BRI yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 turut menyuntik penggerak baharu kepada tadbir urus iklim global.

Bersandarkan prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, BRI menjunjung multilateralisme jitu dan memastikan peluang serta hasil pembangunan dinikmati semua.

Di bawah rangka BRI, situasi sama menang berjaya diwujudkan menerusi kolaborasi rapat.

Berdiri di titik permulaan baharu, bagaimana inisiatif itu terus mengorak langkah ke hadapan dalam tempoh sedekad mendatang? Dunia menantikan BRF edisi ketiga memberi jawapan.