Menteri Luar China, Turkiye Bincang Krisis Palestin-Israel

2023-10-16 14:41:46  CRI
Share with:

China akan menyokong segala usaha kondusif demi pelaksanaan 'penyelesaian dua negara', di samping meneruskan komunikasi dengan Turkiye berhubung perkara itu supaya menyuntik lebih banyak kepastian kepada situasi global.

Demikian ujar Menteri Luar China Wang Yi semasa perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Turkiye Hakan Fidan pada Ahad.

Wang berkata kehidupan rakyat di Gaza mesti diberi jaminan dan akses kemanusiaan juga perlu dibuka secepat mungkin.

"Kami (China) sedang berkomunikasi dengan pihak yang terbabit untuk mengelak konflik terus merebak dan berlakunya bencana kemanusiaan. 

"Pihak kami akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan saluran dua hala," kata beliau.

Dalam pada itu, Fidan menyatakan pendirian bahawa Turkiye menolak tindakan punitif yang dikenakan oleh Israel terhadap orang awam di Gaza.

"Pihak kami (Turkiye) menyokong usaha China dalam mencari penyelesaian isu Palestin di Majlis Keselamatan PBB, dan bersedia bekerjasama dengan China ke arah mewujudkan kedamaian berkekalan di rantau berkenaan," ujar beliau.