Jalan Menuju ke Kemakmuran - Episod 3: Melancarkan Perdagangan

2023-10-16 20:21:39  CRI
Share with:

Barang bernilai ratusan juta yuan beredar di negara-negara berlainan dalam seminit, sekaligus membentuk satu jaringan perdagangan raksasa. Bagaimanapun, peredaran itu tidak selalu lancar. Peraturan dan piawaian yang berbeza, sekatan yang direka-reka, semuanya ibarat rintangan terhadap peredaran komoditi.

Bagaimana melancarkan perdagangan global dalam kerangka pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)?

Pada 26 April 2019, Presiden Xi Jinping berucaptama dalam majlis perasmian Forum Jalur dan Laluan (BRF) kedua.

"Kita perlu menggalakkan perdagangan dan pelaburan berkembang ke arah lebih bebas dan mudah, menentang amalan perlindungan perdagangan, mendorong globalisasi ekonomi berkembang ke arah lebih terbuka, inklusif, universal, seimbang dan sama menang."

China dan negara-negara terlibat berganding bahu memperhalusi "kesalinghubungan" dari segi dasar bagi menggalakkan kebebasan dan kemudahan perdagangan dan pelaburan.

Pada sedekad lalu, kesalinghubungan peraturan telah membangunkan landasan kereta api. Perkhidmatan Kereta Api China-Eropah tidak pernah berhenti. Laluan baharu yang dibina satu demi satu berperanan menyambungkan lebih 210 bandar di 25 negara Eropah di sebelah barat dengan lebih 110 bandar China di sebelah timur. Dengan itu, jaringan perdagangan baharu terbentuk di benua Euroasia yang kuno.

Pada sedekad lalu, China mendorong pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dikenali sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Dengan pembangunan bersama BRI, China bersama 15 negara anggota RCEP menyatukan peraturan perdagangan, dan menghapuskan rintangan demi membawa kemakmuran baharu melalui pasaran yang semakin terbuka.

Pembangunan bersama BRI melancarkan perdagangan. Sejak tahun 2013, jumlah kumulatif import eksport China dengan negara terlibat mencatat USD19.1 trilion, dengan kadar pertumbuhan tahunan berpurata 6.4%. Ia membuka lembaran baharu bagi kerjasama ekonomi dan perdagangan, dan juga meningkatkan kesalinghubungan bagi orang ramai menjalani kehidupan baik.