China, Hungary Ikrar Perkasa Kerjasama Pragmatik

2023-10-17 15:24:07  CRI
Share with:

Perdana Menteri China Li Qiang bertemu dengan rakan sejawatnya dari Hungary, Viktor Orban yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga, pada Isnin. 

Li berkata China bersedia meningkatkan penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi 'terbuka ke timur' Hungary dan bersinergi menggalakkan penaiktarafan kerjasama pragmatik membabitkan perdagangan, pelaburan, kewangan, sosiobudaya dan lain-lain. 

"Usaha akan dilakukan untuk mempercepat projek landasan kereta api Budapest-Belgrade, di samping memperluas kerjasama inovatif dalam bidang tenaga baharu, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI). 

"Kami (China) bersedia memperkukuh komunikasi dan penyelarasan pelbagai hala dengan Hungary untuk memelihara kepentingan bersama kedua-dua negara. 

"Pembangunan China memberi peluang dan daya penggerak kepada Eropah, bukan cabaran atau risiko." kata beliau.

Orban pula menyatakan Hungary akan terus giat menyertai pembinaan bersama BRI, menyokong kesalinghubungan dan kerjasama terbuka, serta menentang amalan cantas hubungan. 

China dan Hungary akan meraikan ulang tahun ke-75 ikatan diplomatik pada tahun depan.

"Hungary bersedia bersama-sama China mengambil peluang itu untuk mengintensifkan kerjasama saling untung dalam pelbagai bidang, sekali gus menggalakkan perkembangan hubungan bilateral serta kerjasama China dengan negara Eropah Tengah-Timur dan Kesatuan Eropah," kata Orban.