Galakkan Pembinaan BRI ke Arah Berkualiti Tinggi dari Lapan Aspek -- Presiden Xi

2023-10-18 13:32:08  CRI
Share with:

China akan menggalakkan pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ke arah yang berkualiti tinggi dari lapan aspek.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga yang diadakan di sini pagi tadi.

Dalam ucaptamanya, Xi berkata bahawa semua negara yang terbabit dalam pelaksanaan BRI mengekalkan aspirasi dalam sedekad lalu, dan berganding bahu mencapai hasil yang melimpah dalam kerjasama antarabangsa. 

“Kerjasama BRI dijalankan bukan sahaja di benua Eurasia,  tetapi juga di benua Afrika dan Amerika Latin. Lebih 150 negara dan 30 pertubuhan antarabangsa telah menandatangani dokumen kerjasama BRI yang menekankan pembinaan bersama, mengadakan BRF sebanyak tiga edisi, selain mewujudkan platform kerjasama pelbagai hala dalam lebih 20 bidang profesional.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, semua negara terbabit komited untuk membina koridor ekonomi dan rangkaian kesalinghubungan global yang melibatkan darat, laut, udara dan ruang siber bagi mendorong peredaran produk, modal, teknologi dan keanggotaan dari pelbagai negara,” kata beliau.

Mengenai cadangan China untuk memacu pembinaan bersama BRI ke arah yang berkualiti tinggi dari lapan aspek, Presiden Xi berkata, China akan mempercepatkan perkembangan perkhidmatan rel kargo China-Eropah dan mengambil bahagian dalam pembinaan koridor pengangkutan antarabangsa rentas Laut Caspian bagi membina rangkaian kesalinghubungan BRI tiga dimensi.

"China akan memulakan pelaksanaan projek pilot tentang kerjasama "E-dagang Jalan Sutera" dan menandatangani perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian perlindungan pelaburan dengan lebih banyak negara selain memansuhkan semua sekatan ke atas akses pelaburan asing dalam sektor perkilangan, kata Presiden Xi ketika menyebut tentang sokongan China kepada pembangunan ekonomi dunia yang terbuka.

"Bank Pembangunan China dan Bank Eksport-Import China masing-masing akan menyediakan perkhidmatan pembiayaan sebanyak RMB350 bilion (RM227 bilion), dan dana Jalan Sutera tambahan sebanyak RMB80 bilion (RM51.9 bilion) untuk menyokong projek pembinaan bersama BRI yang berorientasikan pasaran dan komersial," ujar Xi ketika menyebut isu kerjasama praktikal.

Di samping itu, China juga akan terus menggalakkan pembangunan hijau,  inovasi dalam bidang sains dan teknologi, pertukaran di kalangan rakyat, tadbir urus yang bersih, dan penambahbaikan mekanisme kerjasama antarabangsa dalam kerangka BRI.