China, Kemboja Ikrar Mantapkan Kolaborasi Pragmatik
China bersedia bersama Kemboja memastikan versi baharu pelan tindakan pembinaan komuniti berkongsi nasib dilaksanakan dengan baik, dan menggerakkan kolaborasi pragmatik kedua-dua negara ke arah lebih kukuh dan mampan.
Demikian kata Perdana Menteri China Li Qiang ketika bertemu rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga, petang Selasa.
Li meluahkan hasrat ingin bekerjasama dengan Kemboja untuk mempergiat projek 'koridor pembangunan perindustrian' dan 'koridor limpahan ikan dan beras', mempercepat pembinaan infrastruktur seperti landasan kereta api, fasiliti rawatan kumbahan dan kabel gentian optik, serta meneroka projek ikonik baharu pembangunan berkualiti BRI.
"Kerjasama dalam bidang baru muncul seperti industri hijau dan ekonomi digital akan terus diperluas supaya membantu Kemboja mempercepat pengindustrian dan pemodenan," ujar Li.
Sementara itu, Hun Manet menyatakan tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 terjalinnya hubungan diplomatik Kemboja-China.
Kemboja sudi mengambil peluang itu untuk melaksanakan rangka kerjasama 'intan enam sisi', memperdalam kolaborasi melibatkan tenaga, pertanian, pelaburan, kesihatan dan sosiobudaya, dan bersinergi menjayakan visi komuniti berkongsi nasib sesama negara.