Sebilangan Besar Projek Kerjasama BRI Dimeterai di Beijing

2023-10-19 11:50:16  CRI
Share with:

Persidangan CEO "Jalur dan Laluan" dengan bertemakan "Pembinaan Bersama BRI Berkualiti Tinggi dan Realisasikan Pembangunan dan Kemakmuran Bersama" telah diadakan di sini pada Selasa.    

Pada sesi majlis pemeteraian perjanjian pada hari itu, sejumlah besar projek kerjasama telah dimeterai antara China dengan negara asing dalam bidang infrastruktur, tenaga bersih, kecerdasan buatan, biofarmaseutikal, perkhidmatan kewangan, pertanian moden, pengangkutan rel dan lain-lain. Jumlah projek, negara yang terlibat dan jumlah kontrak pelaburan jauh melebihi yang tercatat pada edisi sebelumnya.

Mohammad Abdullah Abunayyan, Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Antarabangsa Arab Saudi untuk Projek Bekalan Air dan Tenaga Elektrik pada persidangan itu menegaskan bahawa pembinaan bersama BRI bukan sahaja memberi pengaruh kepada China, tetapi juga membawa kesan positif kepada dunia.      

"Kami sangat gembira kerana mendapat manfaat daripada pembinaan bersama BRI. Kami telah mengenali sahabat baik dan memupuk perkongsian yang baik. 

“Kami melaksanakan projek yang bernilai lebih USD30 bilion (RM142.86 bilion), menjalankan kerjasama dalam bidang tenaga bersih, penggunaan air bersih dan tenaga elektrik. Sekarang kami mampu menyediakan air bersih dan tenaga kepada beratus-ratus juta orang dan kesemua pencapaian ini adalah berkat teknologi China.

“Pembangunan perindustrian negara kami dan keupayaan perindustrian China kondusif bagi kami memberi manfaat kepada beratus-ratus juta orang dengan teknologi canggih," katanya.   

Pengerusi  Dewan Perniagaan dan Industri Serbia di China,  Jelena Grubor Stefanović yang menghadiri persidangan itu  berkata bahawa banyak projek kerjasama Serbia dan China yang melibatkan bidang pertanian dan telekomunikasi akan ditandatangani semasa berlangsungnya persidangan edisi ini. Selain itu, kedua-dua negara juga menandatangani perjanjian perdagangan bebas semasa berlangsungnya Forum Kerjasama Antarabangsa Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) edisi ketiga yang disifatkan sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama yang ditandatangani antara China dan negara-negara Eropah Tengah-Timur.

Persidangan itu juga mengeluarkan Deklarasi Beijing bagi Persidangan CEO BRI yang mengandungi sejumlah cadangan termasuk berpegang kepada kerjasama yang terbuka, mempergiatkan kesalinghubungan, mempertahankan pembangunan hijau, menggalakkan kerjasama ekonomi digital, menegakkan pengoperasian yang selaras dengan peraturan dan menunaikan tanggungjawab sosial.   

Turut hadir, lebih 1,200 wakil kalangan perindustrian dan perdagangan dari 82 negara dan wilayah, serta pertubuhan dan institusi ekonomi antarabangsa yang berkaitan.