Lapan Langkah China Bantu Realisasi Pemodenan Global

2023-10-19 15:03:06  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menerusi ucaptama pada majlis perasmian Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga, menzahirkan komitmen China untuk bersama semua pihak terbabit memperdalam kerjasama Jalur dan Laluan, melonjakkan kolaborasi ke fasa baharu pembangunan berkualiti dan melakukan usaha konsisten demi pemodenan semua negara.

Pada masa ini, landskap antarabangsa mengalami perubahan besar, menyaksikan masalah pembangunan tidak seimbang masih menonjol, manakala jurang antara golongan kaya dan miskin serta perbezaan antara Utara dan Selatan terus melebar.

Dalam senario ini, matlamat pembangunan 'modenisasi global' yang diketengahkan Presiden Xi turut mencuri perhatian ramai.

Seperti yang dinyatakan beliau, modenisasi global harus digerakkan demi pembangunan damai, kerjasama saling untung dan kemakmuran bersama.

Tafsiran itu memberi gambaran yang cukup jelas kepada negara lain untuk menggerakkan proses pemodenan.

Tanggapan 'pemodenan bersamaan pembaratan' pernah berlegar-legar dalam kalangan negara membangun pada masa dahulu.

Selepas terikut-ikut dengan acuan dicorak oleh Barat, mereka mendapati ia tidak sepadan dengan keadaan diri sendiri. Negara berkenaan tidak sabar untuk menemui jalan baharu.

Bersandarkan prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menjanjikan situasi sama menang buat China dan negara-negara terbabit.

Berada di titik permulaan baharu, pembangunan berkualiti di bawah rangka BRI menawarkan pendekatan berkesan kepada negara berkenaan untuk bersama-sama merealisasikan pemodenan.

Sempena forum BRF itu, Presiden Xi mengumumkan lapan langkah utama yang akan diambil China untuk menyokong pembinaan bersama BRI secara berkualiti tinggi, yang melibatkan pembentukan jaringan kesalinghubungan berbilang dimensi, ekonomi dunia terbuka, kerjasama pragmatik, pembangunan hijau, inovasi teknologi dan sebagainya.

Adalah jelas bahawa siri langkah seumpama bukan sahaja membantu dunia menangani cabaran seperti momentum pemulihan ekonomi global yang semakin lemah, tetapi juga selaras dengan trend semasa dan perkembangan teknologi.

Ia merangkumi tindakan terperinci dan juga mekanisme jangka panjang, yang akan menyuntik momentum baharu kepada pemodenan dunia.

Dua hari yang lalu, kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung melalui usaha sama China dan Indonesia memulakan operasi secara rasmi.

Tren laju itu memecut pembangunan berkualiti China dan Indonesia, dan juga menjadikan orang ramai lebih yakin dengan prospek cerah yang dibawakan usaha sama berorientasikan BRI.

Hanya melalui kerjasama saling untung, barulah dapat menjayakan sesuatu usaha penting dengan cemerlang.

Dalam dekad keemasan seterusnya, pembinaan bersama BRI secara berkualiti tinggi akan membawa peluang baharu kepada negara terlibat untuk bersama-sama mencapai modenisasi dan menggerakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.