Konglomerat Asing Terus Kembangkan Sayap dalam Pasaran China

2023-10-20 11:57:22  CRI
Share with:

Data ekonomi China untuk tiga suku pertama 2023 yang dikeluarkan pada Rabu menyaksikan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun dengan mencatat RMB91.3 trilion (RM59.6 trilion), lebih cepat daripada entiti ekonomi maju yang utama di dunia.

Pada masa yang sama, jumlah jualan runcit barangan pengguna masyarakat China meningkat sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RMB34.2 trilion (RM22.3 trilion) yang dilaporkan menyumbang 83.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi, dan memacu pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 mata peratusan.

Perangkaan tersebut menandakan peluang pasaran besar bagi pelaburan asing.  Menurut laporan kaji selidik yang dikeluarkan Price Waterhouse Coopers pada Selasa, kebanyakan konglomerat asing di China bersikap optimistik terhadap pasaran negara Tembok Besar ini. Saiz pasaran yang besar, pertumbuhan ekonomi yang pesat dan pengiktirafan tinggi di kalangan pengguna merupakan tiga tarikan utama bagi konglomerat asing terus melabur di China.

Statistik yang diumumkan Kementerian Perdagangan China menunjukkan bahawa jumlah syarikat pelaburan asing baharu yang ditubuhkan di China dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat sebanyak 33 peratus tahun ke tahun, dengan mencatat 33,154 buah. Kontrak pelaburan asing yang terlaksana dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi meningkat 19.7 peratus tahun ke tahun, sedangkan sektor pembangunan dan penyelidikan industri perkhidmatan reka bentuk menyaksikan peningkatan sebanyak 57.1 peratus tahun ke tahun.

Selain pasaran pengguna, perdagangan luar China khususnya perdagangan antara China dan negara-negara yang terlibat dalam pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan(BRI) juga kondusif bagi memastikan kelancaran rantaian perindustrian dan rantaian bekalan global. 

Di sebalik perdagangan global yang kian merosot dalam tempoh tiga suku pertama tahun ini, China berhasil mengekalkan perdagangan luar yang akomodatif dan stabil. Import dan eksport China terhadap negara-negara yang terlibat dalam BRI meningkat sebanyak 3.1 peratus yang  menyumbang 46.5 peratus kepada jumlah keseluruhan import dan eksport negara ini.

Pameran Import dan Eksport China ke-34 yang sedang berlangsung di China menarik penyertaan pembeli dari lebih daripada 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia, dan lebih 3,400 perusahaan dari 128 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian dalam Ekspo Import Antarabangsa China edisi keenam yang bakal diadakan pada awal November nanti.