Xi Bertemu PM Pakistan

2023-10-20 12:59:34  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan Anwar-ul-Haq Kakar yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga, malam Khamis.

Xi berkata China bersedia menyemarakkan persahabatan tradisional dengan Pakistan, memperdalam kerjasama saling untung dan mempercepat pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara yang lebih rapat pada era baharu.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).

Beliau menyarankan kedua-dua pihak mengambil peluang itu untuk mencipta 'versi naik taraf' CPEC yang menggalakkan pertumbuhan, kesejahteraan rakyat, inovasi, pembangunan hijau dan keterbukaan.

"Kedua-dua pihak harus mengukuhkan kerjasama melibatkan taman perindustrian, pertanian, perlombongan dan tenaga baharu, dan menggerakkan pelaksanaan projek kesalinghubungan utama hingga mencapai hasil substantif. 

"Kami (China) mengalu-alukan lebih banyak produk pertanian berkualiti Pakistan dieksport ke China," ujar beliau.

Kakar pula berkata praktik berjaya China dalam usaha ke arah modenisasi menjadi contoh baik dan memberi motivasi kepada negara membangun lain. 

"Pakistan sentiasa merupakan rakan yang boleh dipercayai bagi China, dan tidak akan sekali-kali membenarkan sebarang kuasa menjejaskan persahabatan dua negara. 

"Pihak kami komited terus memperdalam perkongsian strategik sepanjang masa dengan China," katanya.

Beliau turut menyuarakan kesediakan Pakistan untuk bekerjasama rapat dengan China bagi menggalakkan pembangunan berkualiti CPEC.