Bunyikan Loceng Amaran Buat AS

2023-10-21 17:17:23  CRI
Share with:

Apabila wakil Amerika Syarikat (AS), Michele Taylor menyampaikan ucapan di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) baru-baru ini, para hadirin berpusing dengan belakang mereka menghadap podium sebagai membantah AS menyokong Israel tanpa mempedulikan hak asasi rakyat Palestin.

Setakat ini, konflik antara Palesin dan Israel telah mengakibatkan lebih 5,200 nyawa terkorban, dan membawa krisis kemanusiaan yang teruk di kawasan Gaza.

Berdepan situasi yang memburuk, sebagai pihak penting yang terlibat dalam isu Palestin-Israel, AS tidak menjalankan usaha untuk menenangkan pihak yang berkonflik. Malah, negara itu dua kali memveto rang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai bantuan kemanusiaan, dan membiarkan sahaja konflik makin meruncing dan makin ramai rakyat jelata terkorban.

Padahal, ini bukan kali pertama AS memihak kepada Israel di UNSC. Menurut laporan Al Jazeera, dalam tempoh lebih lima dekad lalu, AS telah menggunakan kuasa veto sebanyak lebih 80 kali untuk membatalkan lebih 50 resolusi UNSC yang mengkritik Israel.

Pada malam Khamis, Presiden AS, Joe Biden dalam ucapannya menyatakan sokongan kepada ‘penyelesaian dua negara’, sambil mengulangi sokongan kepada Israel. Biden berkata pihaknya akan memohon Kongres memberi peruntukan tambahan kecemasan untuk meningkatkan kekuatan tentera Israel.

Bagaikan menuang minyak tanah dalam api, perbuatan itu memperlihatkan AS tidak ingin melihat masalah diselesaikan dengan baik.

Kenapa AS berbuat sedemikian? Menurut penganalisis, wujudnya hubungan seperti transaksi antara AS dengan Israel. Israel memerlukan sokongan AS dari segi ketenteraan dan politik, manakala AS mahu menjadikan Israel sebagai ‘pisau’ di kawasan Asia Barat untuk menggentarkan negara serantau seperti Iran.

Selain itu, orang Yahudi merupakan kaum minoriti terbesar di AS dengan memiliki undi berjumlah besar, dan juga penaja untuk pilihan raya AS.

AS dua kali memveto resolusi berhubung situasi Palestin-Israel, kerana politikus negara itu takut menyinggung Israel sehingga mempengaruhi pilihan raya 2024.

Perang tidak membawa kemenangan kepada mana-mana pihak. Kini, masyarakat antarabangsa sebulat suara menggesa supaya gencatan senjata diwujudkan dengan segera antara Palestin dan Israel, dan penduduk awam diberi perlindungan.

Berdepan konflik yang berlarutan, UNSC perlu menjalankan tindakan sewajarnya. AS sepatutnya berhenti memperalat konflik untuk menjalankan perlawanan sesama parti atau menyerang negara lain.