Jalan Sutera Digital Pecut Modenisasi Global

2023-10-22 16:31:58  CRI
Share with:

Ada satu adegan ditampilkan dalam dokumentari 'A Road to Prosperity' yang menunjukkan seorang penghantar ekspres dari Nigeria, Jon Andrew, menunggang motosikal berulang-alik di lorong-lorong Lagos untuk menghantar barang sampai ke tangan pelanggan.

Kerja itu menjanjikan rezeki lumayan buat Jon yang bertugas untuk sebuah syarikat kurier China. Biarpun baru sahaja ditubuhkan beberapa tahun lalu, syarikat itu berjaya membentuk rangkaian logistik yang cekap di Lagos.

Ia mempunyai skop pengurusan gudang luar negara dan pasukan operasi penghantaran ekspres yang melebihi seribu orang.

Dengan adanya bantuan China, negara Afrika itu kini dilengkapi sistem pengurusan logistik pintar digital.

Ini merupakan satu contoh pengintegrasian Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan ekonomi digital.

Pada masa ini, pertumbuhan ekonomi digital global semakin meraih momentum dengan tibanya fasa baharu pembinaan bersama BRI secara berkualiti tinggi.

Presiden Xi Jinping ketika berucap pada Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga mengumumkan pembinaan zon rintis kerjasama e-dagang Jalan Sutera dan penganjuran Ekspo Perdagangan Digital Global saban tahun.

Sedekad lalu, China mengemukakan BRI dengan hala tuju penting untuk menggerakkan kerjasama meluas di kalangan negara terlibat dalam bidang teknologi digital, infrastruktur digital dan pasaran digital.

Berkat keterlibatan dan dorongan China, usaha membina Jalan Sutera Digital merangkul hasil yang memberangsangkan.

Sempena forum berkenaan, China bersama rakan-rakan BRI melancarkan Inisiatif Beijing mengenai Kerjasama Ekonomi Digital Antarabangsa Jalur dan Laluan, yang mencakupi 20 konsensus dari segi infrastruktur, transformasi perindustrian, keupayaan digital, mekanisme kerjasama dan sebagainya.

Ia mengembangkan saluran baharu untuk kerjasama ekonomi digital serta menunjukkan laluan kepada usaha mengukuhkan kesalinghubungan digital dan membina Jalan Sutera Digital dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Diyakini bahawa pembangunan sektor seperti e-dagang dan dagangan perkhidmatan digital akan membantu menembusi halangan perdagangan, merangsang dagangan global dan menjana pertumbuhan ekonomi dunia.