BRI Himpunkan Tenaga ke Arah Wujud Pembangunan Bersama: Putin

2023-10-23 13:35:28  CRI
Share with:

Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diketengahkan Presiden China Xi Jinping adalah tepat pada masanya dan telah mencapai kemajuan positif, kata Presiden Rusia Vladimir Putin.

Beliau berkata BRI menghimpunkan tenaga semua negara ke arah merealisasikan matlamat pembangunan bersama. 

"Inisiatif itu merupakan reka bentuk peringkat atas yang sangat baik dan tepat, dan ia masih dalam pelaksanaan pada ketika ini. 

"Kelebihan utama konsep kerjasama yang dicadangkan China adalah dalam rangka kolaborasi, tiada sesiapa pun yang memaksakan apa-apa kepada pihak lain.

"Semua kerja adalah mengenai penerokaan pendekatan yang boleh diterima semua untuk mencapai matlamat bersama," ujar beliau semasa temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG). 

Putin berkata, ketika China bergaul dengan negara lain, tiada sebarang pemaksaan berlaku, sebaliknya banyak peluang ditawarkan.

Beliau turut memuji pembinaan bersama BRI memperlihatkan Presiden Xi mempunyai visi jauh berorientasikan masa depan. 

Menyentuh mengenai kerjasama dua negara, Putin menyifatkannya digerakkan mengikut hala tuju yang betul sambil mengatakan trend multipolariti dunia tidak dapat dihalang.

Beliau menyatakan ikatan jalinan kedua-dua negara merupakan hasil usaha sama selama 20 tahun dalam menggalakkan perkembangan stabil. 

"Setiap langkah diambil berdasarkan kepentingan dua negara, dan ini merupakan kata sepakat kedua-dua pihak. 

"Rusia dan China sentiasa mendengar pendapat dan mempertimbangkan kepentingan satu sama lain apabila usaha diteruskan untuk memantapkan hubungan dua hala," tambah beliau.

Rusia merupakan pembekal tenaga terbesar China, manakala China beransur-ansur menjadi rakan dagang terbesar bagi negara itu. 

Dijangkakan bahawa jumlah perdagangan antara kedua-dua negara akan melebihi USD200 bilion (RM956.1 bilion) menjelang akhir tahun ini. 

"Hubungan Rusia-China adalah faktor asas kestabilan dunia. Kedua-dua negara bergerak mengikut haluan yang betul dan ini selaras dengan kepentingan rakyat dua negara," kata Putin.