Genap Lima Tahun Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao Beroperasi

2023-10-23 14:45:40  CRI
Share with:

Hari ini merupakan ulang tahun kelima pengoperasian Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao (HZMB). 

Dalam tempoh lima tahun lalu, jambatan itu menjadikan aliran pergerakan orang, lalu lintas dan logistik antara tiga tempat itu tersambung lebih erat, sekali gus menggerakkan Kawasan Teluk Besar (GBA) Guangdong-Hong Kong-Macao membentuk lingkaran ekonomi dan kehidupan yang saling bermanfaat.

Di dewan pemeriksaan bersama di pelabuhan daratan Zhuhai HZMB, bas yang menuju ke Hong Kong dan Macao bertolak setiap lima minit. 

Selain menggunakan pengangkutan awam, penduduk dari Hong Kong dan Macao juga boleh memandu kereta sendiri ke Tanah Besar setelah mendapatkan permit. 

Menurut statistik, jambatan itu mencatatkan aliran kenderaan sebanyak 2.35 juta sejak awal tahun ini, selain lebih 7.02 juta penduduk dari  Hong Kong dan Macao memasuki Tanah Besar.

Dengan beroperasinya Zhuhai HZMB, masa perjalanan dari Hong Kong ke Zhuhai dan Macao dengan memandu kereta dikurangkan daripada tiga jam kepada hanya kira-kira 45 minit. 

Perkhidmatan pelepasan kastam pantas dalam 24 jam turut menjadikan jambatan itu nadi logistik di GBA berkenaan.

Pada masa ini, pelabuhan daratan HZMB merupakan antara saluran utama bagi menghantar barang keperluan harian yang dibekalkan kepada penduduk Hong Kong.

Banyak kelengkapan bagi projek pembinaan prasarana di Hong Kong juga diangkut melalui jambatan itu.

Setakat Oktober tahun ini, nilai barang import dan eksport yang dikendalikan melalui pelabuhan daratan Zhuhai HZMB mencecah RMB700 bilion (RM437 bilion).