Hari Sukan Negara (Hsn) Beijing 2023: Membudayakan Sukan Ke Arah Perpaduan
Kehangatan sambutan Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun pada minggu ke-2 bulan Oktober turut dirasai oleh hampir 300 rakyat Malaysia di Republik Rakyat China yang terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang sedang menuntut di universiti-universiti di bandar Beijing dan Tianjin, serta para pegawai dan keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Kemeriahan HSN Beijing 2023 turut dikongsikan dengan kehadiran para pelajar antarabangsa yang turut dijemput antaranya dari Kazakhstan, Turkmenistan, Antigua and Barbuda, Filipina, Vietnam dan pelbagai lagi sebagai salah satu inisiatif mendekati atau “outreach” pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pasca-ijazah pada masa akan datang.
Acara yang dianjurkan oleh Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB) dan Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB), telah mendapat sokongan penuh dari Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China. Ia telah berlangsung di Kompleks Sukan Beijing Jiaotong University yang turut menjadi rakan strategik penganjuran.
HSN Beijing 2023 telah dirasmikan oleh Encik Sanmugan Subramaniam, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di China. Menerusi ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan akan kebaikan bersukan dalam melahirkan minda yang cerdas, terutamanya kepada para pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran di perantauan, seterusnya bergraduasi dengan cemerlang. ”Kalah atau menang bukanlah satu ukuran dalam aktiviti sukan kerana ia adalah adat pertandingan. Namun, apa yang saya harapkan adalah kebersamaan kita, iaitu ”Our Togetherness” dalam mengangkat aktiviti sukan sebagai alat pengukuhan perpaduan sesama kita rakyat Malaysia” ujar beliau.
Pelbagai acara sukan dan riadah telah dianjurkan, antaranya zumba, acara larian 100 meter, 200 meter, 400 meter, perlawanan bola sepak, lompat jauh, dan pelbagai acara sukaneka. Acara telah dimulakan dengan perarakan masuk Jalur Gemilang dan kontinjen para pelajar, seterusnya diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan ikrar Rukun Negara. Acara lebih menarik apabila setiap kontinjen pelajar menamakan pasukan mereka dengan nama-nama makanan popular di Malaysia seperti Roti Canai, Nasi Lemak, Pasembur, Musang King, Cendol, Char Kuey Teow, dan Teh Tarik. Pendekatan sebegini dipilih bagi meningkatkan rasa cinta para pelajar kepada negara, menyuburkan semangat patriotisme dan mengukuhkan jatidiri para pelajar yang berada di perantauan. Kemuncak acara menyaksikan perlawanan tarik tali antara para pelajar dengan pasukan dari pihak Kedutaan Besar Malaysia yang bertujuan mengeratkan silatulrahim para pelajar dengan para pegawai di kedutaan.