Singapura Bakal Hantar Delegasi Pempamer Terbesar ke CIIE 2023

2023-10-24 13:18:00  CRI
Share with:

Singapura akan menghantar delegasi melibatkan lebih 500 wakil dari 56 buah syarikat untuk menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam. 

Ini merupakan kumpulan pempamer terbesar Singapura ke ekspo berkenaan sejak 2020. 

Tahun ini dewan pameran Singapura mencatat keluasan 1,286 meter persegi yang merangkumi tiga zon utama untuk mempertontonkan barang pengguna, produk makanan dan pertanian serta perdagangan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Kok Ping Soon berkata hubungan yang saling menguntungkan antara Singapura dengan China membawa banyak peluang perniagaan dan perdagangan yang penting kepada kedua-dua pihak. 

"China akan sentiasa menjadi pasaran penting bagi syarikat Singapura, manakala CIIE platform penting bagi syarikat Singapura untuk menembusi pasaran China terutamanya dalam sektor inovasi digital dan pembangunan mampan," ujar beliau semasa sidang media SBF pada Isnin. 

Menurut Laporan Tinjauan Perniagaan SBF 2022/2023, sebanyak 46 peratus syarikat yang ditinjau telah memulakan urus niaga di China, sementara antara syarikat yang merancang melebarkan sayap ke luar negara, 21 peratus mahu memasuki pasaran China.

Semasa berlangsungnya CIIE, SBF turut akan menganjurkan Forum Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Singapura-China di Shanghai pada 6 November. 

Sebagai platform perniagaan dua hala peringkat tinggi, forum itu akan diadakan melalui siaran langsung dalam dan luar talian secara serentak, bertujuan untuk menggalakkan pertukaran dan kerjasama antara perusahaan Singapura dan China.