China Ratifikasi Pemeteraian Protokol Senjata Api

2023-10-25 11:59:58  CRI
Share with:

Sesi keenam Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14 telah mengundi dan meluluskan keputusan berhubung meratifikasi pemeteraian Protokol Tambahan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pembanterasan Jenayah Terancang Transnasional tentang Memerangi Pembuatan dan Pemerdagangan Senjata Api beserta Alat Gantinya dan Peluru (Protokol Senjata Api) pada Selasa.

Protokol Senjata Api yang dimeterai 122 buah negara setakat kini, merupakan salah satu protokol penting  di bawah Konvensyen PBB bagi Pembanterasan Jenayah Terancang Transnasional dan dokumen undang-undang penting dalam bidang kawalan senjata konvensional antarabangsa.

Meratifikasi pemeteraian Protokol Senjata Api disifatkan sebagai satu langkah penting bagi China untuk giat melaksanakan Inisiatif Keselamatan Global, mengamalkan multilateralisme dan memelihara keamanan dan kestabilan antarabangsa dan serantau, dan juga menunjukkan keazaman China untuk mengawal senjata api dengan ketat dan mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama kawalan senjata api global. Pada masa yang sama, meratifikasi pemeteraian protokol itu juga kondusif bagi mengekalkan keamanan negara dan kestabilan sosial serta meningkatkan keterjaminan keselamatan di kalangan rakyat.