Xi'an Hantar Produk Getah ke Asia Tenggara menerusi Rel-Laut
Tren ekspres perkhidmatan pengangkutan produk getah menerusi laluan darat-laut dari Xi'an ke Asia Tenggara memulakan operasinya secara rasmi pada Selasa.
Dilaporkan, tren X9642 yang membawa muatan 50 kontena produk getah seberat 900 tan berlepas dari Stesen Pelabuhan Antarabangsa Xi'an, provinsi Shaanxi menuju ke Pelabuhan Qingdao, tempat transit untuk terus dihantar ke Asia Tenggara melalui pengangkutan laut.
Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 10 hari, iaitu dapat menjimatkan 16 peratus masa berbanding menerusi pengangkutan darat.
Ia sekali gus menyaksikan Xi'an mencapai kemajuan baharu dalam pembinaan saluran logistik antarabangsa, yang turut membolehkan lebih banyak produk 'buatan China' menembusi pasaran luar negara.
Mod pengangkutan menggabungkan rel dan laut menjadi pilihan baharu kepada syarikat-syarikat yang menjalankan perdagangan antarabangsa.
Berbanding pengangkutan darat tradisional, alternatif itu dapat mengatasi masalah seperti keadaan lalu lintas tidak terkawal, prosedur pemuatan dan pemunggahan di pelabuhan amat rumit, kos pergudangan pelabuhan yang tinggi serta kesukaran dalam menyelaraskan penggunaan kenderaan pada masa puncak.