Malaysia Manfaat Banyak daripada Pembangunan China - TPM

2023-10-26 14:44:45  CRI
Share with:

Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mendapat banyak manfaat daripada pembangunan pesat di China pada beberapa dekad yang lalu.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak "Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)" Malaysia di Kuala Lumpur pada Rabu.

“Malaysia dan China membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama sektor pemindahan teknologi, ekonomi digital dan e-dagang, dan juga menyaksikan tercapainya kemajuan dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Fadillah Yusof menyatakan dalam ucapannya bahawa konsep Malaysia Madani yang dikemukakan oleh Malaysia selari dengan konsep membina komuniti berkongsi nasib sesama insan, memandangkan kedua-duanya komited untuk mencapai matlamat pembangunan yang komprehensif dan mampan.

“Pencapaian China dalam pembangunan ekonomi mencerminkan komitmen tegas kerajaannya untuk meningkatkan tahap hidup rakyat. China melakar pencapaian yang mengagumkan dalam usaha pembasmian kemiskinan dan turut menjadi contoh kepada Malaysia. Dengan adanya inspirasi daripada praktik China yang efisien, Malaysia juga menggubal dasar untuk mengatasi masalah kemiskinan,” katanya.

Fadillah Yusof menzahirkan harapan penuh terhadap perkembangan hubungan Malaysia-China pada masa depan.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengeratkan persahabatan dan mengukuhkan hubungan dengan China,” katanya.

Kuasa Usaha sementara Kedutaan Besar China di Malaysia, Zheng Xuefang pada majlis perasmian itu berkata bahawa China bersedia untuk memperkasa kerjasama dengan pihak Malaysia dalam pembinaan bersama berkualiti tinggi di bawah BRI demi membawa dividen pembangunan yang lebih banyak kepada kedua-dua negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.