CMG Capai Perjanjian Kerjasama dengan CCGAC dan IOA

2023-10-30 16:50:02  CRI
Share with:

Kumpulan Media China (CMG) mencapai memoramdum kerjasama dengan Pusat Tamadun Purba China dan Greece (CCGAC) dan Akademi Olimpik Antarabangsa (IOA), untuk meningkatkan pertukaran dan saling belajar antara tamadun China dan Greece, serta mempromosikan semangat Olimpik.

Presiden CMG Shen Haixiong menandatangani memorandum berkenaan dengan Pengerusi Lembaga Pengelola CCGAC Stelios Virvidakis, dan Presiden IOA Isidoros Kouvelos, di Athens pada 28 Oktober.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian perjanjian kerjasama antara IOA dengan CMG.

Presiden CMG Shen Haixiong ketika bertemu dengan Stelios Virvidakis menyatakan bahawa CMG bersedia bekerjasama dengan CCGAC, untuk menceritakan kisah "Jalur dan Laluan" dari perspektif media dan akademik. Beliau berharap kerjasama itu dapat meningkatkan persefahaman dan kepercayaan antara rakyat kedua-dua negara. 

Ketika mengadakan pertemuan dengan Isidoros Kouvelos, Shen memaklumkan bahawa CMG telah mencapai persetujuan kerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Paris mutakhir ini. Pihaknya akan terus menggunakan teknologi penyiaran bertaraf dunia serta program sukan berkualiti tinggi dan kreatif, untuk mempromosikan semangat Olimpik dan semangat sukan China, agar menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.