BRI Beri Manfaat kepada Rakyat Kemboja: Hun Manet

2023-10-31 11:48:59  CRI
Share with:

Kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menyasarkan untuk membantu pembangunan negara membangun, kata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Menurut beliau, selain menyediakan peluang pembangunan, usaha sama itu juga membantu negara terlibat mendapatkan modal dan teknologi serta mempercepat pembinaan infrastruktur yang diperlukan.

Menyentuh mengenai lebuh raya Phnom Penh-Sihanoukville yang dibina dalam rangka kerjasama BRI, Hun Manet berkata projek berkenaan membawa banyak manfaat kepada rakyat Kemboja.

"Lebuh raya itu membantu menjana pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan logistik di samping mempermudah aktiviti perdagangan.

"Bagi Kemboja, BRI selaras dengan 'strategi pentagon' kami yang menyasar menambah baik kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kesalinghubungan," kata Hun Manet dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor yang mula beroperasi baru-baru ini sebagai projek ikonik kerjasama BRI.

Berhubung rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0, Hun Manet berpendapat usaha itu bakal menggalakkan dan menyempurnakan mekanisme perdagangan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua pihak.

"Kami menyasar membangkitkan semula ekonomi pasca pandemik COVID-19 dan menyediakan syarat kondusif untuk memperkasa hubungan perdagangan, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim serta trend global baharu seperti proses pendigitalan.

"Dalam konteks ini, saya berpendapat Kemboja dan China boleh bersinergi dengan rakan dagang di rantau ASEAN ke arah merealisasikan matlamat berkenaan," kata beliau.