Xinjiang Tubuh FTZ Rintis, Sasar Keterbukaan Taraf Tinggi

2023-11-02 14:28:50  CRI
Share with:

Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Rintis Xinjiang akan meneroka pendekatan untuk mempermudah aktiviti pelaburan, mengoptimumkan fungsi perkhidmatan kewangan dan memacu pembangunan ekonomi digital. 

FTZ itu memulakan operasi secara rasmi pada Rabu, sekali gus menjadi zon seumpama pertama yang ditubuhkan di kawasan sempadan di barat laut China.

Naib Menteri Perdagangan Guo Tingting berkata pihaknya akan memberi sokongan padu kepada zon rintis itu menerusi langkah bersepadu.

"Pihak kami akan menggalakkan FTZ itu menyempurnakan mekanisme jaminan perkhidmatan untuk pelabur asing, dan memastikan penyertaan adil syarikat asing dalam aktiviti seperti perolehan kerajaan dan pembidaan.

"Selain itu, sokongan akan diberi bagi membolehkan syarikat berkenaan menikmati dasar pembangunan perindustrian secara sama rata," kata beliau dalam sidang media di Beijing, pada Rabu.

Guo berkata pihaknya juga menyokong institusi kewangan asing membuka bank, agensi insurans dan sekuriti di zon rintis berkenaan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan antarabangsa yang pelbagai.

Sementara itu, kerja membina infrastruktur digital dan platform perkhidmatan digital komprehensif di FTZ Xinjiang akan turut dipercepat. 

Naib pengerusi kerajaan wilayah Xinjiang, Sun Hongmei menyatakan Xinjiang akan merebut peluang daripada pembinaan FTZ untuk mempergiat pembaharuan, pembangunan dan inovasi menerusi keterbukaan bertaraf tinggi.

"Dengan wujudnya FTZ, pintu Xinjiang yang sedia terbuka akan semakin luas. Ia turut meningkatkan lagi keyakinan syarikat dalam dan luar negeri untuk melabur di wilayah itu," kata Sun.