Pembohongan Jepun Terbongkar

2023-11-03 14:37:04  CRI
Share with:

Walaupun menghadapi bantahan keras dari dalam dan luar negara, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo Jepun (TEPCO) berkeras memulakan pelepasan air sisa radioaktif dari loji Fukushima untuk pusingan ketiga. Jumlah air kumbahan pusingan ini kira-kira 7,800 tan, dan dijangka akan berakhir pada 20 November ini. 

TEPCO mendakwa bahawa "kepekatan tritium air kumbahan itu adalah memenuhi jangkaan". Namun, pembohongan itu terbongkar berikutan kemalangan percikan yang berlaku pada mutakhir ini.

Menurut laporan Agensi Berita Kyodo, lima kakitangan TEPCO terdedah kepada air kumbahan yang mengandungi bahan radioaktif semasa mengendalikan paip Sistem Proses Cecair Lanjut (ALPS) pada 25 Oktober. Antara dua orang yang dihantar ke hospital, seorang tercemar pada seluruh badan, dan seorang lagi tercemar pada kedua-dua lengan dan bahagian bawah badan. Selepas beberapa jam penyahcemaran, jumlah sinaran pada badan mereka masih belum turun ke bawah piawaian selamat. Kemalangan itu sekali lagi mendedahkan dua pembohongan Jepun, iaitu air sisa radioaktif yang dirawat secara teknikal adalah "selamat" dan proses rawatan adalah "selamat" dan "boleh dipercayai".

Beberapa penyelidikan berkaitan mendapati bahawa air tercemar nuklear Fukushima mengandungi lebih daripada 60 radionuklid. Selain tritium, kebanyakan nuklid masih belum dapat dirawat dengan berkesan. Data yang diumumkan oleh Jepun pada Mac lalu mendapati bahawa kira-kira 70 peratus air kumbahan yang dirawat menerusi ALPS tidak memenuhi piawaian pelepasan dan perlu dirawat semula.

Menurut laporan, selepas kemalangan percikan itu berlaku, TEPCO telah memeriksa dosimeter yang dipakai oleh kedua-dua kakitangan terbabit dan mengesahkan bahawa dos maksimum mereka terdedah kepada sinar beta (β) selepas kemalangan ialah 6.6 millisieverts (mSv), iaitu lebih tinggi daripada amaran garis merah iaitu 5 millisieverts. Ini mencerminkan bahawa air sisa dari loji Fukushima mempunyai tahap radioaktif yang tinggi.

Selepas kemalangan percikan itu berlaku, pegawai perikanan dari Fukushima menyatakan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap TEPCO.

Lautan adalah rumah milik seluruh umat manusia. Dunia tidak patut membayar bil tindakan Jepun yang hanya demi kepentingan diri itu.