China, Jordan Seru Laksanakan "Penyelesaian Dua Negara"

2023-11-03 15:35:13  CRI
Share with:

China mengutuk keras serangan terhadap perkhemahan pelarian di Genting Gaza. Nyawa rakyat Palestin dan Israel adalah sama penting. Dwistandard dan bencana kemanusiaan perlu dielakkan.

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), yang juga Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian ketika mengadakan perbualan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Perantau Jordan Ayman Safadi menerusi telefon pada Khamis.

Wang mengatakan bahawa China memuji tindakan Jordan yang menggalakkan rundingan damai antara Palestin dengan Israel dalam jangka masa panjang, dan mewakili negara-negara Arab mengemukakan draf resolusi mengenai konflik Palestin-Israel kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Beliau berkata, China menyokong anjuran negara-negara Arab untuk mewujudkan gencatan senjata, menghentikan peperangan dan memelihara kedamaian. 

Wang menegaskan bahawa sebagai negara pengerusi Majlis Keselamatan PBB bagi bulan ini, China komited mengadakan komunikasi dan penyelarasan rapat dengan pelbagai pihak, mendorong Majlis Keselamatan mencapai konsensus agar meredakan ketegangan situasi. 

Beliau menyatakan pentingnya untuk mewujudkan gencatan senjata dan menjamin kelancaran saluran penghantaran bantuan kemanusiaan. Sementara itu, persidangan damai antarabangsa yang lebih berwibawa perlu diadakan dengan secepat mungkin bagi mencapai konsensus baharu tentang pelaksanaan semula "Penyelesaian Dua Negara" serta menetapkan jadual dan peta garisan berkaitan.

Ayman Safadi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada China yang menjunjung tinggi kesamarataan dan keadilan dalam isu Palestin, serta menyokong sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi. 

Beliau berkata, kedamaian merupakan satu-satunya pilihan. Pihaknya mengutuk segala tindakan yang membahayakan orang awam, di samping menyeru menyegerakan gencatan senjata serta menghantar barang bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza. 

Beliau menegaskan bahawa Jordan bersedia berusaha bersama-sama China untuk melaksanakan "Penyelesaian Dua Negara" demi memelihara kedamaian dan kestabilan di rantau berkenaan.