Keterbukaan China Sediakan Pasaran Luas untuk Thailand
Landskap keterbukaan China pada tahap tinggi menyediakan pasaran lebih luas kepada syarikat Thailand, kata Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Thailand berkata, didorong dasar pintu terbuka China serta Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), akan wujudnya sebuah komuniti berkongsi kepentingan yang luas, sekali gus menjadikan dunia saling berhubung.
"Kami (Thailand) berpeluang menembusi pasaran yang lebih besar di China, terutamanya menerusi platform seperti pameran CIIE. Ia membolehkan kami mempertontonkan pelbagai produk dan juga membantu meningkatkan lagi kerjasama antara China dengan Thailand,” kata beliau.
Phumtham dijemput menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam yang dijadual pada 5 hingga 10 November di Shanghai.
Difahamkan, negara itu menghantar delegasi terdiri daripada 20 buah syarikat yang kebanyakannya pengusaha makanan dan pertanian untuk CIIE kali ini.
"CIIE merupakan medium bagi merapatkan lagi hubungan China dengan rakan kongsi, di samping menjanjikan banyak manfaat substantif buat semua,” ujar Phumtham.
Dalam pada itu, Naib Menteri Perdagangan Puntil Jongjittrakoon turut menyifatkan CIIE penyedia peluang kepada syarikat dari seluruh dunia.
"Ekspo import berkenaan membolehkan sebanyak mungkin syarikat meneroka pasaran yang lebih besar di China.
"CIIE tahun ini menarik penyertaan ribuan pempamer dari lebih seratus negara, sekali gus akan memberi impak penting kepada ekonomi dunia,” kata beliau.