Peserta CIIE Nantikan Peluang Baharu Pasaran China

2023-11-06 13:19:40  CRI
Share with:

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam yang bertemakan 'New Era, Shared Future' dirasmikan di Shanghai pada Ahad.

Duta Besar Benin ke China Simon Pierre Adovelande memberitahu, buah nanas keluaran Benin yang membuat debut dalam ekspo itu mendapat tumpuan ramai.

"Kami ingin mencari pengedar di China supaya buah nanas Benin dapat dijual di pasar raya dan disajikan atas meja penduduk China.

"Output tahunan nanas Benin mencatat 400,000 tan buat masa ini dan kami berharap mencari rakan kerjasama menerusi platform CIIE untuk meningkatkan hasil tanamannya sehingga memenuhi permintaan lebih banyak pengguna China," kata Simon.

Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) buat julung kalinya menghantar delegasi untuk menyertai CIIE. 

Pavilion AS seluas 200 meter persegi menghimpunkan 17 pempamer terdiri daripada kerajaan negeri, persatuan produk pertanian, pengeksport hasil pertanian serta pengusaha pembuatan dan pembungkusan makanan. 

Pengerusi Majlis Bijirin AS Brent Boydston berkata pihaknya menjalin hubungan baik dengan China dalam tempoh lebih 40 tahun lalu. 

Beliau berharap dapat terus mengukuhkan hubungan rakan kongsi kedua-dua pihak melalui CIIE.

Ekspo kali ini menyaksikan kehadiran peserta dari 154 buah negara dan wilayah serta pertubuhan antarabangsa. 

Lebih 3,400 perusahaan dan hampir 410,000 pelawat profesional berdaftar menyertai ekspo itu, skala terbesar berbanding edisi-edisi sebelumnya.