China, Australia Mulakan Jalan Betul bagi Eratkan Hubungan Bilateral - Xi

2023-11-07 12:45:07  CRI
Share with:

China dan Australia mulai menuju ke landasan yang betul dalam mengeratkan hubungan bilateral, kata Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Beijing pada Isnin.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 lawatan bekas Perdana Menteri Australia, Gough Whitlam ke China. Pada masa sekarang, anda juga memilih melawat China dan lawatan ini dilihat sebagai yang berpandangan jauh dengan mewariskan legasinya. Di bawah usaha bersama kedua-dua pihak, China dan Australia telah menyambung semula pertukaran dalam pelbagai bidang.

“China dan Australia harus mengikuti aliran arus zaman, memacukan perkembangan perkongsian strategik komprehensif China-Australia ke hadapan dengan berdasarkan kepentingan bersama kedua-dua negara, penjalinan hubungan dua hala yang sama rata serta kerjasama yang saling menguntungkan, di samping menebus persamaan dan merai perbezaan,” kata Xi. 

Xi menegaskan, China berpegang kepada strategi keterbukaan untuk mewujudkan situasi sama menang, menggalakkan pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu, dan secara komprehensif merancakkan pembangunan ke arah yang makmur demi kebangkitan nusa dan bangsa melalui modenisasi ala China.

“Ini akan membawa peluang yang belum pernah wujud sebelumnya kepada pelbagai negara di dunia termasuk Australia.

“China dan Australia dicadangkan menyemarakkan semangat hidup bersama secara damai bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain serta mewujudkan pembangunan bersama dengan kerjasama yang saling menguntungkan.

“Kedua-dua pihak juga perlu menerokai potensi Perjanjian Perdagangan Bebas China-Australia, mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu yang melibatkan perubahan iklim dan ekonomi hijau, memelihara sistem perdagangan bebas global dan serantau, serta menyediakan persekitaran perniagaan yang baik untuk pelaburan dan pengoperasian syarikat kedua-dua pihak,” kata Xi.

Anthony Albanese pula berkata, Australia dan China berkongsi kepentingan bersama yang luas. Dialog dan kerjasama merupakan pilihan yang tepat.

“Australia berpegang kepada pelaksanaan dasar Satu China dan bersedia bekerjasama dengan China untuk menggalakkan perkembangan hubungan dua hala yang stabil, meningkatkan pertukaran dalam sektor ekonomi dan perdagangan serta kerjasama dalam sektor tenaga bersih dan perubahan iklim demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Australia bersedia untuk mengintensifkan komunikasi dengan China dalam hal ehwal serantau, termasuk Forum Kepulauan Pasifik,” kata beliau.