Forum Hongqiao Seru Tambah Baik Tadbir Urus Dagangan Global

2023-11-07 13:57:41  CRI
Share with:

Satu subforum yang menumpukan kepada sistem perdagangan multilateral dan tadbir urus dagangan global berlangsung di Shanghai pada Isnin sempena Forum Ekonomi Antarabangsa Hongqiao edisi keenam.

Naib Menteri Perdagangan China Ling Ji berkata sistem perdagangan multilateral perlu bertindak balas secara berkesan untuk menangani unilateralisme dan amalan perlindungan yang bangkit semula pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, China komited untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dunia menerusi keterbukaan pada tahap lebih tinggi.

“Kami akan teguh menyokong sistem perdagangan multilateral berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan menyempurnakan lagi pelan China terlibat dalam pembaharuan WTO,” ujar beliau.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah WTO Yi Xiaozhun pula berkata entiti ekonomi utama harus menyeimbangkan aspek keselamatan, keterbukaan dan pembangunan. 

"Khususnya negara dagangan utama mesti mengetepikan mentaliti Perang Dingin dan mencorakkan semula pola baharu tadbir urus global yang dikelola bersama, berkongsi dan saling untung menerusi kerjasama lebih kukuh di peringkat multilateral," kata beliau.