Tragedi di Gaza Tidak Boleh Dibiar Berlarutan: MFA

2023-11-07 12:18:48  CRI
Share with:

Malapetaka kemanusiaan yang berlaku di Gaza mencabuli norma asas hubungan antarabangsa dan tragedi itu tidak boleh dibiarkan terus berlarutan, kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) China Wang Wenbin dalam sidang media pada Isnin.

Menurutnya, konflik antara Palestin dan Israel telah menyebabkan lebih 11,000 orang terbunuh yang kebanyakannya penduduk awam.

Beliau menegaskan China mengecam tindakan yang membahayakan rakyat jelata dan merosakkan kemudahan awam serta perbuatan yang membelakangi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

China menggesa pihak-pihak terlibat bertenang dan menahan diri pada tahap maksimum, menyegerakan gencatan senjata, menjaga keselamatan penduduk dan kemudahan awam yang dilindungi di bawah Konvensyen Geneva seperti hospital, di samping membuka koridor bantuan kemanusiaan.

Tambah beliau, resolusi yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dengan majoriti besar mutakhir ini menggesa agar gencatan senjata diwujudkan dengan segera. 

Resolusi itu juga menuntut pihak terbabit melaksanakan sepenuhnya kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, dan melindungi penduduk dan objek awam serta petugas dan kemudahan bagi misi kemanusiaan.

Wang turut menyifatkan resolusi itu mencerminkan suara hati masyarakat antarabangsa.