CIIE Cetuskan Momentum bagi Ekonomi Dunia yang Terbuka

2023-11-08 15:06:41  CRI
Share with:

Menurut satu tinjauan pendapat membabitkan netizen global, terdapat 92.8 peratus responden menganggap bahawa Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) yang telah diadakan untuk enam tahun berturut-turut, merupakan isyarat kuat negara ini akan terus meningkatkan tahap keterbukaan, dan juga peluang penting bagi dunia yang masih berada dalam keadaan bergolak dan ekonomi global yang masih berada dalam kelembapan.

Tinjuan pendapat yang dilancarkan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) di bawah Kumpulan Media China (CMG) menyaksikan penglibatan lebih 10,000 netizen yang mengundi dan menyuarakan pendapatnya dalam tempoh masa 24 jam menerusi laman web CGTN dalam lima bahasa, iaitu Inggeris, Sepanyol, Perancis, Arab dan Rusia.

Keputusan tinjauan itu mendapati 83.6 peratus responden berpendapat bahawa CIIE yang mendapat sambutan hangat menggambarkan sektor korporat sangat yakin akan perdagangan bebas dan pasaran terbuka dalam senario global, manakala 86.8 peratus responden menganggap CIIE sudah menjadi platform penting bagi perusahaan mencari peluang yang kondusif dalam situasi antarabangsa yang tidak menentu.

Sementara itu, terdapat 82.5 peratus netizen menganggap pelbagai negara sepatutnya mendorong perdagangan dan pelaburan berkembang ke arah yang bebas dan mudah, dan aktif membina entiti ekonomi yang terbuka supaya seluruh dunia boleh memanfaatkan kerjasama yang sama menang.

Selain itu, terdapat 87.2 peratus netizen menyanjung tinggi usaha China dalam memelihara globalisasi ekonomi, dan menganggap China telah memainkan peranan yang aktif dalam menggerakkan pemulihan ekonomi dunia dan memperjuangkan pembangunan yang lebih seimbang, selaras dan mampan, melalui praktik konsistennya dalam memperincikan pembaharuan dan peningkatan tahap keterbukaan.

CIIE 2023 diserikan dengan kehadiran perwakilan daripada 154 buah negara, kawasan dan pertubuhan antarabangsa serta 289 buah syarikat yang tersenarai Fortune 500 Dunia dan konglomerat multinasional, dan juga akan menyaksikan tayangan perdana lebih 400 buah produk, teknologi dan perkhidmatan baharu.

Terdapat 11 buah negara yang merupakan wajah baharu dalam CIIE dan 34 buah negara menyertai CIIE secara fizikal buat pertama kalinya, antaranya Amerika Syarikat buat pertama kalinya muncul sebagai negara pempamer yang mengendalikan dewan pameran yang tersendiri.