Memacu Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Ruang Siber - Xi

2023-11-08 14:48:20  CRI
Share with:

Pelbagai pihak perlu memperdalam pertukaran dan kerjasama praktikal bagi mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib ruang siber berkembang ke tahap yang baharu, kata Presiden China Xi Jinping pada majlis perasmian Sidang kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia (WIC) 2023 melalui pautan video pada pagi tadi.

“Internet telah menjadi penggerak baharu untuk memacu pembangunan, sektor baharu untuk mengekalkan keselamatan, dan platform baharu untuk mencari inspirasi daripada tamadun pelbagai negara.

“Pembinaan komuniti berkongsi nasib ruang siber bukan sahaja pilihan wajar untuk mengatasi masalah sezaman, tetapi juga suara lantang bersama masyarakat antarabangsa, kata Xi.

"China mencadangkan pelbagai pihak mengutamakan pembangunan dan membina ruang siber yang lebih inklusif, universal dan makmur.

“Pelbagai pihak dicadangkan memperdalam pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam bidang digital, mempercepatkan aplikasi hasil penyelidikan saintifik, mempopularkan perkhidmatan maklumat, mengecilkan jurang digital, menjamin dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam proses pembangunan Internet, sekali gus memastikan hasil pembangunan Internet dikongsi bersama rakyat di lebih banyak negara," ujar Xi.

Menyentuh mengenai isu pembinaan ruang siber yang lebih damai dan selamat, Presiden Xi mencadangkan pelbagai pihak menghormati kedaulatan dalam bidang siber, jalan pembangunan Internet dan model tadbir urus setiap negara.

“Pelbagai pihak dicadangkan mematuhi peraturan ruangan siber antarabangsa, selain mengelakkan amalan hegemoni, konfrontasi blok dan perlumbaan senjata di ruang siber.

“Selain itu, memperdalam kerjasama praktikal dalam bidang keselamatan siber, membanteras kegiatan haram dan jenayah siber, dan meningkatkan keselamatan data dan perlindungan maklumat peribadi.

“China bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk melaksanakan Inisiatif Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) Global dan menggalakkan pembangunan AI yang selamat, tambah beliau.

Presiden Xi juga mencadangkan pelbagai pihak membina ruang siber yang lebih saksama dan inklusif.

“Pelbagai pihak dicadangkan mengintensifkan pertukaran dan dialog secara dalam talian, menggalakkan persefahaman sesama rakyat di pelbagai negara serta tamadun yang berbeza wujud bersama secara inklusif bagi mengamalkan nilai-nilai universal umat manusia.

“Selain itu, memperkasa pembinaan tamadun siber, menggalakkan pengeluaran dan penyebaran produk budaya siber yang berkualiti tinggi, memaparkan hasil tamadun manusia yang cemerlang,  mewariskan dan membangunkan tamadun bagi bersama-sama membina dunia kerohanian dalam talian.

Presiden Xi pada akhirnya menegaskan ruang siber berperanan membawa visi manusia untuk masa depan yang lebih indah.

“Marilah kita berganding bahu untuk membina komuniti berkongsi nasib ruang siber agar Internet dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh dunia dan mewujudkan masa depan yang lebih indah untuk manusia,” kata Xi.

Sidang kemuncak Wuzhen WIC 2023 akan berlangsung di Wuzhen, provinsi Zhejiang China dari 8 hingga 10 November, dengan bertemakan "Membina Dunia Digital yang Inklusif dan Berdaya Tahan demi Manfaat Umum, Bekerjasama untuk Membina Komuniti Berkongsi Nasib Ruang Siber".