Perubatan Tradisional Cina Beri Sumbangan Kepada Kesihatan Global
Pada kira-kira 5000 tahun yang lalu, nenek moyang bangsa China, Shen Nong atau lebih dikenali sebagai Yan Di mencuba ratusan jenis herba untuk mencari penawar bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Malangnya, beliau pula terkorban setelah mencuba sejenis daun yang beracun. Yan Di dikenali sebagai pengasas perubatan tradisional Cina.
Pada tahun 1972, sekumpulan saintis China yang diketuai oleh Tu Youyou memilih menjadi sukarelawan untuk mencuba sampel pertama artemisinin untuk mengatasi penyakit malaria.
China memulakan penyelidikan ubat antimalaria atas permintaan Vietnam pada hujung 1960-an. Tu Youyou, pakar perubatan tradisional Kementerian Kesihatan China diberi mandat untuk membawa satu kumpulan penyelidik melaksanakan tugasan berkenaan. Dua tahun selepas itu, mereka mendapati herba “Qing Hao” atau Artemisia mempunyai kesan yang amat baik untuk melawan malaria, cuma kurang stabil.
Tu Youyou cuba mencari jawapan daripada buku perubatan tradisional Cina. Beliau mendapat ilham daripada preskripsi Ge Hong yang ditemui kira-kira 1600 tahun yang lalu, dan akhirnya berjaya mendapat artemisinin dengan menggunakan teknologi yang moden.
Hingga 1982, artemisinin dipasarkan sebagai ubat “Qing Hao Su”.
Selain Asia Tenggara, malaria juga menular secara meluas di benua Afrika. Kira-kira 247 juta kes malaria dilaporkan pada tahun 2021, yang 95% berlaku di Afrika, khususnya di kampung-kampung yang terpencil.
China menghantar pasukan perubatan pertama ke Afrika pada tahun 1963. Dalam tempoh 60 tahun ini mereka telah membantu untuk merawat lebih 290 juta pesakit tempatan. Tugas melawan malaria antara misi penting mereka.
Ketika melaksanakan misi PBB di Liberia, Pasukan Pengaman China mendapat maklumat bahawa lebih separuh penduduk kampung Gambo yang mempunyai kira-kira seratus penduduk, menghidap demam. Beberapa orang pesakit bahkan meninggal dunia.
Pasukan Pengaman China segera menghantar pasukan perubatan ke sana untuk memberi bantuan. Setelah menjalani pemeriksaan darah, mereka disahkan menderita malaria. Walaupun penyakit ini sudah jarang didapati di China dan kes di seluruh Asia Tenggara pula hanya kira-kira 3% di dunia, namun penyakit ini masih menjadi penyakit yang membunuh di kawasan luar bandar di Afrika.
Pasukan Perubatan China segera mengagihkan “Qing Hao Su” kepada penduduk kampung yang kebanyakan pulih dengan cepat.
Populasi Kepulauan Comoros hanya 800 ribu, tetapi lebih 100 ribu orang dijangkiti malaria. Keadaan yang paling teruk di Pulau Mohéli. Kumpulan pakar China pergi ke pulau itu pada 2007 untuk mengadakan program membanteras malaria. Mereka berusaha mendapat sokongan ketua puak tempatan bagi mengurangkan kebimbangan penduduk. Hanya empat bulan saja, kadar penularan malaria menurun 90%. Program ini berjaya dipromosikan ke lebih banyak tempat.
Hingga 2014, kes malaria di Comoros menurun 98% berbanding tahun 2006, manakala kes kematian buat kali pertama menurun kepada tahap sifar.
Kini banyak syarikat farmaseutikal China telah memasuki Afrika. Ramai staf tempatan atau ahli keluarga mereka pernah diselamatkan dengan menggunakan ubat dari China ini. Oleh itu mereka amat aktif membantu mempromosikan ubat ini kepada kerajaan hingga ke kampung yang terpencil.
Syarikat China juga membina kilang supaya ubat-ubat berkenaan dapat dikeluarkan di sana, sekali gus menyediakan banyak peluang kerja.
Berikutan sistem kesihatan yang lemah di Afrika, khususnya di kawasan luar bandar, syarikat China juga berusaha memperbaiki produk mereka, termasuk mengurangkan dos yang diperlukan, bagi memudahkan penggunaannya.
Memusnahkan malaria akan menjadi satu lagi pencapaian cemerlang bagi kaum manusia untuk melawan pandemik. Dan Satria amat gembira perubatan tradisional Cina dapat memberi sedikit sebanyak sumbangan dalam usaha tersebut.