Pertemuan Xi, Albanese Simbol Pemulihan Hubungan China-Australia

2023-11-08 15:04:31  CRI
Share with:

Pertemuan antara Presiden China Xi Jinping dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Beijing pada Isnin menjadi tumpuan media Barat.

Mereka menyifatkan pertemuan itu sebagai simbol pemulihan hubungan dua negara selepas  ketegangan berlarutan selama beberapa tahun yang menyebabkan aktiviti perdagangan terbantut. 

Semasa pertemuan, Xi menekankan perlunya China dan Australia bersinergi membina hubungan dua hala yang melayan satu sama lain secara sama rata, mencari titik persamaan sambil menerima perbezaan serta menjalin kerjasama saling untung, sekali gus memantapkan perkongsian strategik komprehensif.

Albanese pula berkata dialog dan kerjasama merupakan pilihan tepat bagi Australia dan China yang memiliki kepentingan bersama meluas.

Selaku rakan dagang terbesar Australia, dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta modenisasi yang dilaksanakan China mencipta peluang besar kepada negara itu.

Walau bagaimanapun, dalam dua penggal pentadbiran dahulu, Australia mengikuti 'strategi Indo-Pasifik' dibangkitkan Amerika Syarikat (AS), melarang teknologi 5G Huawei dan kerap kali melakukan provokasi dalam isu-isu melibatkan Xinjiang dan Laut China Selatan. 

Perkara itu mengakibatkan hubungan China-Australia tergendala dan kepentingan Australia sendiri terjejas.

Dalam tempoh lawatan kali ini, Albanese turut menghadiri majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam di Shanghai. 

Negara itu menghantar sebanyak kira-kira 200 perusahaan untuk menyertai CIIE.

Mereka optimis terhadap pasaran China dan menaruh harapan tinggi kepada pemerkasaan kerjasama praktikal kedua-dua negara.

Dalam pertemuan di Beijing, pemimpin kedua-dua negara juga bersetuju memperluas kolaborasi dalam bidang baru muncul seperti perubahan iklim dan ekonomi hijau.

Pakar menganalisis bahawa Australia selaku negara pengeksport tenaga tradisional dan pembekal sumber litium penting mempunyai hasrat serta syarat untuk mentransformasikan ekonomi ke arah hijau, sementara China giat menggerakkan proses pemodenan. Maka, kelebihan kedua-dua negara dapat saling melengkapi. 

Pada pandangan pakar, pemerkasaan kolaborasi dalam sektor berkenaan akan memberi momentum baharu kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Australia.