Teknologi Baharu Cipta Masa Depan Lebih Cemerlang

2023-11-08 15:31:02  CRI
Share with:

Menjelang Pesta Membeli-belah Dalam Talian 11.11 di China, Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset Milik Negara (SASAC) China membuka kedai di platform e-dagang Taobao untuk mempamerkan beberapa produk seperti reaktor modular kecil (SMR), platform penggerudian separa tenggelam tahap 100 ribu tan, pemasang jambatan terbesar di dunia dan lain-lain.

 

Sudah tentu semua produk ini bukan untuk dijual dalam talian, tetapi perkara ini telah memperlihatkan hasil inovasi teknologi China dan transformasinya untuk pasaran.

 

Antara pelbagai perkembangan teknologi, AI merupakan bidang yang paling baharu.

 

"Dalam usaha memajukan AI, semua pihak harus menjunjung prinsip berorientasikan kepentingan manusia dan meningkatkan pengurusan dan kawalan risiko. Perwakilan dan hak bersuara negara membangun dalam tabir urus AI, amat perlu ditingkatkan, di samping merapatkan jurang perbezaan dari segi kepintaran dan keupayaan tadbir urus antara negara berkenaan," kata Naib Menteri Sains dan Teknologi China, Wu Zhaohui ketika berucap di Sidang Kemuncak Keselamatan AI Global di Bletchley Park, Britain pada awal bulan ini.

 

Beliau turut menyeru supaya konsep keselamatan yang komprehensif, bersifat bekerjasama dan mampan menjadi pegangan semua pihak, selain mencapai konsensus melalui dialog dan kerjasama.

 

China telah menjadi pemain penting dalam perkembangan AI global. Ketika berdialog dengan Rishi Sunak, Elon Musk menyatakan, tanpa kehadiran China, sidang kemuncak ini kurang bermakna.

 

Jelas bahawa Rishi Sunak telah menghadapi tekanan besar untuk mengundang China. Akhirnya China hanya diizinkan menyertai agenda pada hari pertama.

 

Bagaimanapun, China tetap hadir dengan membawa suara negara-negara membangun. China berpendapat tadbir urus AI berkait rapat dengan masa depan umat manusia dan ia harus dikembangkan berlandaskan prinsip saling menghormati, saksama dan saling menguntungkan.

 

Hal ini selaras dengan Inisiatif Tadbir Urus AI Global yang dikemukakan oleh Presiden Xi dalam Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF).

 

Inovasi teknologi, termasuk AI bakal menjadi penjana ekonomi negara, sekali gus membawa faedah yang ketara kepada rakyat pelbagai negara.

 

Contohnya, pembinaan seunit HSR “Fuxinghao” China melibatkan lebih 400 buah syarikat yang menyediakan lebih 40 ribu komponen. Pengeluaran telefon 5G terbaharu Huawei juga telah menyediakan banyak peluang kepada syarikat-syarikat huluan dan hiliran.

 

China selalu berusaha mengurangkan jurang pembangunan dan tadbir urus teknologi baharu seperti digital dan AI di antara negara maju dengan negara membangun.

 

Semasa BRF yang baru menutup tirai, China buat kali pertama menganjurkan Persidangan Pertukaran Sains dan Teknologi Jalur dan Laluan di Sichuan minggu ini, serta merasmikan empat program kerjasama yang melibatkan teknologi pembangunan lestari, pembasmian kemiskinan dengan sains dan teknologi, teknologi maklumat ruangan serta inovasi dan keusahawanan.

 

Dua belas dokumen kerjasama sains dan teknologi dimeterai dalam persidangan yang dihadiri oleh menteri atau wakil Menteri Sains dan Teknologi dari 24 negara.

 

Sidang kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia 2023 juga diadakan minggu ini.  Sudah 10 tahun, sasaran sidang ini selalu berfokus kepada usaha meningkatkan komunikasi, memperluas persepakatan, memperdalam kerjasama dan bersama-sama membina komuniti berkongsi peluang ruang siber. Selain itu usaha untuk menggalakkan internet yang membawa lebih banyak faedah kepada rakyat pelbagai negara, serta bersama-sama mencipta masa depan yang lebih cemerlang untuk manusia sejagat turut diberi perhatian.