China Komited Perkasa Kerjasama dengan Semua Negara

2023-11-09 14:57:22  CRI
Share with:

China bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara untuk mengambil peluang perkembangan sezaman, menangani risiko dan cabaran demi masa depan yang lebih indah untuk umat manusia, kata Timbalan Presiden China Han Zheng dalam ucaptama pada majlis perasmian Forum Ekonomi Inovasi ke-6 yang berlangsung di Singapura dari 7 hingga 8 November.

Han Zheng berkata China akan terus memperkasa kerjasama antarabangsa melalui langkah memperincikan pelaksanaan dasar yang terbuka.

“China bertindak konsisten dalam meningkatkan tahap keterbukaan, bersedia untuk menawarkan lebih banyak peluang pasaran dan pelaburan, serta berkongsi dividen yang wujud dalam pelaksanaan dasar keterbukaan dari segi institusi dengan perusahaan dari pelbagai negara.

“China akan terus memacu pembangunan yang berpandukan inovasi, meningkatkan perkongsian pencapaian inovatif dengan pelbagai negara, bersama-sama menangani cabaran dari perubahan iklim, dan menyuntik momentum baharu ke dalam pertumbuhan ekonomi dunia.

“China akan terus menggalakkan pembangunan secara damai, bekerjasama dengan pelbagai negara untuk memelihara keamanan dan keselamatan dunia demi pembangunan dan kemakmuran bersama, dan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata beliau.

Ketika menyebut mengenai China dan Amerika Syarikat (AS) menjalankan kontak peringkat tinggi baru-baru ini, Han Zheng berkata, China sentiasa melihat dan menangani hubungannya dengan AS berdasarkan tiga prinsip iaitu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama bagi situasi sama menang.

“China bersedia untuk mengukuhkan komunikasi dan dialog dengan AS di pelbagai peringkat, memperkasa kerjasama yang saling menguntungkan, berhemah mengawal perselisihan, dan bekerjasama untuk menangani cabaran global,” ujar Han.

Han Zheng juga bertemu dengan pengasas Forum Ekonomi Inovasi dan pengasas Kumpulan Bloomberg, Michael R. Bloomberg, dan para tetamu yang menghadiri forum tersebut.

Semasa lawatannya di Singapura sebelum ini, Han Zheng sudah bertemu secara berasingan dengan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean. 

Semasa pertemuan dengan Lee Hsien Loong, Han Zheng berkata, China bersedia bekerjasama dengan Singapura untuk memacu pembinaan bersama yang  berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan, menggalakkan penaiktarafan projek kerjasama kedua-dua negara, mengintensifkan pertukaran kedua-dua negara dalam bidang sosiobudaya demi kemakmuran dan kestabilan serantau.

Lee Hsien Loong pula berkata, pihaknya bersedia untuk meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan China, menjayakan mesyuarat mengenai mekanisme kerjasama Singapura-China pusingan baharu, dan menggalakkan perkongsian Singapura dan China yang komprehensif dan berkualiti tinggi  berkembang ke tahap yang baharu.