Buat Debut di CIIE, Cetus Peluang Besar

2023-11-09 12:54:41  CRI
Share with:


Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam di Shanghai menjadi wadah untuk mempamerkan banyak produk inovatif dan teknologi canggih yang melibatkan kepintaran digital, pembangunan hijau dan sebagainya.

Untuk rekod, sebanyak 442 produk, teknologi dan perkhidmatan baharu membuat debut dalam CIIE edisi kali ini.

Sebagai pameran peringkat negara pertama yang bertemakan pengimportan, CIIE menjadi platform untuk China dan pelbagai negara bersama meneroka potensi pertumbuhan.

Penaiktarafan aktiviti perbelanjaan China mencetuskan peluang baharu kepada syarikat multinasional.

Dengan populasi seramai 1.4 bilion orang antaranya lebih 400 juta yang berpendapatan sederhana, China menjadi destinasi penting untuk pemasaran teknologi dan produk baharu global.

Produk-produk kreatif yang dipamerkan dalam CIIE dianggap mempunyai prospek pasaran yang baik kerana ia dapat memenuhi keperluan pengguna negara ini.

Di samping itu, strategi pembangunan dipacu inovasi yang dilaksanakan China juga menyediakan peluang penting kepada syarikat asing. 

Kedudukan China di ranking Indeks Inovasi Global (GII) naik dengan pantas pada beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut laporan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) pada September, China berada di kedudukan ke-12 dalam ranking GII, menjadikannya satu-satunya entiti ekonomi berpendapatan sederhana dalam kalangan 30 entiti yang mendahului ranking itu.

Pembangunan berkualiti China umpama magnet yang menarik banyak syarikat asing menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka di negara ini. 

Syarikat Karcher Jerman telah menyertai CIIE selama enam tahun berturut-turut. Syarikat pembekal peralatan pembersihan itu menubuhkan pusat R&D global di Suzhou, yang merupakan pangkalan R&D terbesarnya di luar Jerman.

CIIE edisi kali ini dianjurkan sempena ulang tahun ke-45 pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka China dan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Ekspo itu bukan berperanan sebagai platform perdagangan barangan sahaja, tetapi juga menjadi 'tanah subur' untuk usaha inovasi global. Selain meraih tempahan dan idea, pempamer asing juga dapat memperoleh peluang daripada modenisasi ala China.