Xi Balas Surat Presiden Orkestra Philadelphia

2023-11-10 21:21:48  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping membalas surat Presiden Orkestra Philadelphia yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Matias Tarnopolsky.

Dalam surat itu, Xi berkata kunjungan sulung Orkestra Philadelphia ke China pada 50 tahun lalu memulakan pertukaran budaya antara China dengan Amerika Syarikat (AS), dengan besarnya makna dalam normalisasi hubungan kedua-dua negara.

Sepanjang lima dekad lalu, pasukan pancaragam itu berkunjung ke China sebanyak 12 kali, dan memainkan peranan aktif dalam mendorong perkembangan hubungan dua negara.

Muzik melangkaui sempadan manakala budaya membina jambatan, kata Xi sambil menzahirkan harapan agar Orkestra Philadelphia dan artis dari China dan AS dapat terus mengeratkan pertukaran dan kolaborasi, merakyatkan seni dan budaya, serta menyingkap lembaran baharu dalam pertukaran sosiobudaya dan persahabatan sesama rakyat.

Orkestra Philadelphia melakukan lawatan sulung ke China pada September 1973, menjadikannya orkestra pertama AS yang berkunjung ke negara Tembok Besar selepas penubuhan Republik Rakyat China.