China Sokong Segala Usaha Redakan Konflik, Galakkan Perdamaian

2023-11-10 12:29:20  CRI
Share with:

China menyokong usaha keadilan rakyat Palestin untuk memulihkan hak kebangsaan yang sah, dan berharap melihat rakyat Palestin dan Israel hidup bersama secara aman.

Demikian dinyatakan utusan khas kerajaan China bagi hal ehwal Asia Barat, Zhai Jun ketika berucap pada Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa mengenai Bantuan kepada Rakyat Jelata di Genting Gaza yang diadakan atas inisiatif Perancis di Paris, pada Khamis.

Zhai berkata, China menyokong segala kesungguhan yang bertujuan untuk meredakan konflik dan menggalakkan perdamaian.

"China mengalu-alukan sebarang inisiatif yang kondusif bagi melindungi rakyat jelata dan meredakan krisis kemanusiaan," ujar Zhai.

Beliau menyatakan, sejak tercetusnya konflik pusingan ini, China aktif berkomunikasi dengan pihak-pihak terbabit bagi meredakan ketegangan dan menjaga keselamatan rakyat jelata.

"Kerajaan China telah memberikan bantuan tunai kepada penduduk di Genting Gaza melalui Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dan pihak berkuasa Palestin, serta menghulurkan bantuan kemanusiaan kecemasan seperti makanan dan ubat-ubatan.

"Selain itu, China akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan penduduk Gaza," kata Zhai.

Beliau menambah, China akan terus bersinergi dengan pihak-pihak berkaitan ke arah menghentikan peperangan di Gaza, meredakan ketegangan situasi kemanusiaan, dan menggalakkan isu Palestin kembali ke landasan "penyelesaian dua negara" secepat mungkin.