Xi Tinjau Kerja Pembinaan Semula Pasca Banjir di Beijing, Hebei

2023-11-11 15:17:36  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping membuat tinjauan ke kawasan terjejas banjir pada hujung Julai hingga awal Ogos di Beijing dan provinsi Hebei, pada Jumaat.

Beliau berkata usaha berterusan amat perlu dalam pembinaan semula pasca banjir bagi memastikan penduduk tempatan menjalani kehidupan yang sejahtera dan selesa pada musim sejuk.

Pada pagi Jumaat, Xi meninjau projek pengubahan aliran air di sungai Yongding di daerah Mentougou, Beijing.

Beliau menyatakan, kawasan pergunungan di daerah seperti Mentougou dan Fangshan merupakan keutamaan dalam usaha mencegah dan mengatasi bencana banjir di Beijing.

Keutamaan perlu diberikan kepada aspek seperti membina takungan dan infrastruktur sokongan lain, memanfaatkan fasiliti tersebut dengan baik serta menambah baik piawaian daya tahan banjir membabitkan jalan dan bangunan di kawasan pergunungan, tambah Xi.

Beliau turut berkunjung ke sebuah sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara dan kediaman untuk pekerja pasukan kawalan bencana dan bantuan semasa musim banjir di daerah Mentougou.

Beliau mengingatkan pihak sekolah supaya terus memberikan pendidikan keselamatan bagi meningkatkan tahap kesedaran pelajar terhadap keselamatan dan kebolehan tindak balas kecemasan.

Xi mengambil peluang ini bagi mengucapkan takziah kepada waris mereka yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan orang awam semasa banjir, di samping menyampaikan salam kepada wakil mereka yang mengambil bahagian dalam pencegahan banjir dan bantuan bencana, termasuk ahli dan pegawai Parti peringkat akar umbi, anggota bomba, anggota penyelamat kecemasan dan sukarelawan.

Menjelang tengah hari, Xi sampai di kampung Shuiyuzui di Mentougou dan dimaklumkan mengenai usaha pemulihan dan penambahbaikan infrastruktur.

Beliau meneruskan tinjauan ke bandar Zhuozhou di provinsi Hebei, yang dilanda banjir teruk ketika musim panas lalu.

Apabila singgah di sebuah komuniti kediaman pada petang Jumaat, Xi menekankan perlunya perancangan rapi berhubung pencegahan dan pengurangan bencana ketika melaksanakan pemulihan dan pembinaan semula.

Fasiliti seperti saliran banjir, kawasan pelepasan air bah dan takungan perlu disediakan, dan rangkaian saliran perlu dikemas kini, kata beliau.

Antara lokasi lain yang dijejaki Presiden Xi adalah kampung Wanquanzhuang serta projek kawalan banjir sungai Baigou.

Kerajaan pusat memutuskan untuk mengeluarkan bon negara bernilai 1 trilion yuan, sebagai sokongan untuk melaksanakan projek pembinaan semula dan peningkatan kemampuan tindak balas bencana.

Xi turut menegaskan bahawa projek berkenaan perlu digerakkan secara berkualiti, hemat dan cermat dengan berpaksikan rakyat.