Orkestra Philadelphia: Persahabatan China-AS Rentas Pasifik

2023-11-12 15:40:52  CRI
Share with:

Konsert memperingati ulang tahun ke-50 lawatan sulung Orkestra Philadelphia ke China diadakan di Beijing pada Jumaat.

Bergelar sebagai utusan kebudayaan, orkestra dari Amerika Syarikat (AS) itu telah membuat lawatan sebanyak 12 kali ke China, dan memberi sumbangan penting dalam meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara kedua-dua negara.

"Hubungan AS-China akan menjadi lebih baik, saya rasa ia berkait rapat dengan pertukaran muzik, dan ia adalah secara dua haluan," kata Davyd Booth, pemain violin dari Orkestra Philadelphia

Booth juga anggota rombongan orkestra itu ketika lawatan sulung ke China pada lima dekad lalu.

Matias Tarnopolsky, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orkestra Philadelphia telah menulis surat kepada Presiden China Xi Jinping sebelum memulakan lawatan kali ini.

Beliau menganggap bahawa persembahan yang dibawakan orkestra itu bukan sahaja pertukaran budaya yang lebih mendalam, tetapi juga peristiwa penting dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Presiden Xi dalam surat balasnya pula berkata bahawa muzik melangkaui sempadan manakala budaya membina jambatan.

Xi turut menzahirkan harapan agar Orkestra Philadelphia dan artis dari China dan AS dapat terus mengeratkan pertukaran dan kolaborasi, merakyatkan seni dan budaya, serta menyingkap lembaran baharu dalam pertukaran sosiobudaya dan persahabatan sesama rakyat.

Hubungan antara China dan AS menjadi buruk susulan AS melancarkan perang dagang secara sepihak ke atas negara Tembok Besar ini pada 2018. Ia turut mencetuskan kebimbangan serius masyarakat antarabangsa terhadap risiko 'Perang Dingin baharu'.

Seperti yang dinyatakan Menteri Kanan Kehormat Singapura, Goh Chok Tong bahawa sabotaj dan cantas hubungan akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi, rantaian bekalan, keselamatan makanan dan sumber tenaga di peringkat global.

Presiden Xi telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari AS, Joe Biden di Bali Indonesia pada November 2022. Dalam pertemuan itu, pemimpin kedua-dua negara telah mengadakan komunikasi bersifat konstruktif dan strategik secara tulus ikhlas dan mendalam mengenai hubungan dua hala serta kedamaian dan pembangunan dunia.

Pada malam penganjuran konsert peringatan itu juga, Kementerian Luar China mengumumkan bahawa Presiden Xi akan menghadiri pertemuan pemimpin China-AS di San Francisco, serta menghadiri mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Ramai yang berharap hubungan antara China dan AS dapat keluar daripada 'musim dingin' seiring irama merdu konsert yang dipersembahkan oleh Orkestra Philadelphia, dan bertindak sehaluan untuk maju ke hadapan.

Seperti yang dinyatakan Mantan Setiausaha Perbendaharaan AS Lawrence Summers, China dan AS bagaikan "dua sateria yang belayar di tengah laut bergelora", dan "kedua-duanya dikehendaki mengayuh bersama supaya sampai ke destinasi yang diinginkan".