CPEC Diyakini Bawa Limpahan Manfaat kepada Rakyat Pakistan: Anwar Kakar

2023-11-13 14:28:45  CRI
Share with:

Pakistan menanti-nantikan pembinaan Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) masuk fasa kedua dan mempercayai ia dapat membawa limpahan manfaat lebih besar kepada masyarakat tempatan. 

Demikian dinyatakan Perdana Menteri Pakistan, Anwar ul Haq Kakar ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) mutakhir ini. 

Beliau berkata, pembinaan CPEC bagi fasa pertama telah siap dan membuahkan hasil yang menggalakkan. Antaranya, pembinaan pelabuhan Gwadar, sebahagian jalan raya dan lapangan terbang serta beberapa projek tenaga berjaya diselesaikan. 

"CPEC telah membawa limpahan manfaat kepada rakyat Pakistan khususnya penduduk di provinsi Balochistan," kata Kakar.

Dalam sedekad lalu, China dan Pakistan memperkasakan pembinaan CPEC sehingga diluaskan ke dalam sektor pertanian, perlombongan, sains dan teknologi, teknologi maklumat dan lain-lain. 

Pembinaan CPEC sekali gus mendorong pembinaan koridor pertumbuhan, kesejahteraan rakyat, inovatif, hijau dan terbuka antara China dengan Pakistan, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara bahkan serantau.

Ketika diminta memberikan pandangan mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Kakar menjelaskan bahawa berbanding dengan mekanisme multilateral yang lain, pembinaan bersama BRI bergantung kepada kaedah ekonomi, bukanlah berniat mengubah dunia melalui kekuatan dan kekerasan.

"China tidak ingin menegakkan indentiti budaya tunggal melalui BRI baik di peringkat global atau pun serantau. 

"Kelebihan utama inisiatif tersebut adalah ia tersemak dalam budaya bangsa China, di samping menerima dan menghormati perbezaan dari luar, dan tidak mencetuskan kebencian ekoran perbezaan itu, "kata Kakar. 

Sebagai projek utama dalam kerjasama China-Pakistan dan salah satu projek rintis dalam BRI, CPEC, dari idea menjadi kenyataan dalam sedekad lalu. 

Setakat penghujung 2022, CPEC berjaya menarik pelaburan langsung bernilai USD25.4 bilion untuk Pakistan, mencipta 155,000 peluang pekerjaan, menambah jalan raya sepanjang 510 kilometer, sekali gus menyediakan asas teguh kepada kesalinghubungan infrastruktur dan perindustrian serta pertumbuhan sosioekonmoi negara itu secara berterusan.